PESERTA dan tenaga pengajar bergambar kenangan selepas kursus.
PESERTA dan tenaga pengajar bergambar kenangan selepas kursus.
PESERTA bersemangat mempertahankan idea gubahan ketika berdepan tenaga pengajar.
PESERTA bersemangat mempertahankan idea gubahan ketika berdepan tenaga pengajar.
Hartini Mohd Nawi


Bermula awal pagi hari kedua, semua peserta sudah bersedia dengan idea masing-masing untuk menghasilkan gubahan menarik mengikut kreativiti.

Bebas bergerak untuk mendapatkan pelbagai jenis bunga pilihan dan elemen hiasan berasaskan sumber alam di kawasan sekeliling antara kelebihan ditawarkan kepada peserta.

Masing-masing bersemangat dan yakin sebaik diminta menghuraikan keunikan gubahan, membuatkan peserta tidak sabar menghadiri kursus seterusnya.

Itu penangan Kursus Asas Gubahan Bunga Ikebana di Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, baru-baru ini, yang mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ikebana dalam erti kata lain bermaksud seni gubahan ala Jepun yang kian popular di negara ini.

Garapan cerita dalam setiap gubahan bunga ikebana membuatkan semua peserta teruja untuk menampilkan rekaan terbaik berbeza daripada yang lain.

Gabungan kreativiti dan simbolik dengan material gubahan berasaskan sumber alam semula jadi menjadi kekuatan serta tarikan kepada peserta kursus itu.

Peserta didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu ikebana yang mementingkan ketelitian dalam setiap aturan gubahan bersama jalan cerita tersendiri.

Sekurang-kurangnya, terhasil kreativiti yang tidak ‘tertinggal’ dari pandangan, yakni semuanya menarik dan menjadi terapi mata.

Teruja dengan kursus yang dihadiri membuatkan jurutera automotif ini tampil berkongsi pengalaman.

Mohd Fadzly Suliman, 40, tidak menyangka beliau juga kreatif menggubah bunga biarpun sebelum ini langsung tidak menyedarinya.

“Kerana mahu mencabar kebolehan diri, saya mendaftar sebagai peserta supaya dapat menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman.

“Biarpun singkat, siapa sangka minat menggubah bunga khususnya gaya ikebana mula berputik.

“Kursus ini memberi peluang kepada saya mengupas kelebihan dan kreativiti saya,” katanya yang gemar mencuba kelainan.

Malah, beliau tidak kekok menonjolkan diri dalam kursus itu walaupun kebanyakan peserta adalah wanita.

Begitu juga dengan Azidah Sahri, 39, yang mempunyai persepsi berbeza sebaik mengikuti kursus berkenaan.

“Daripada tidak tahu asas langsung mengenai gubahan bunga ikebana, hari ini saya berjaya menghasilkan sendiri gubahan berdasarkan kaedah tertentu.

“Banyak aspek yang perlu diambil kira, nampak biasa-biasa, tapi sebenarnya tidak semudah disangka.

“Seni gubahan itu pelbagai dan terpulang kepada kita membuat tafsiran atau penelitian,” kata anak kelahiran Johor Bahru dan menetap di Rembau, Negeri Sembilan itu.

Perasaan itu juga dikongsi seorang tenaga pengajar kursus berkenaan, Mohd Nawawi Mustafha.

“Dua pengalaman berbeza dalam dua hari dan terbukti peserta tidak mensia-siakan peluang.

“Berbakat atau tidak bukan perkara utama kerana Kursus Asas Gubahan Ikebana mengajar peserta berfikir di luar kotak.

“Hasilkan gubahan luar biasa yang sarat dengan maksud tersirat tanpa mengetepikan nilai estetikanya,” katanya.

Beliau yang mesra disapa Awie berkata, pada hari pertama peserta diberi peluang menghasilkan gubahan ikebana secara individu.

Berbeza dengan hari kedua apabila membabitkan gubahan kreatif Ikebana secara berkumpulan.

“Setiap gambaran gubahan atau landskap yang dibina memerlukan penghuraian jalan cerita atau maksud tersirat.

“Ternyata kemampuan peserta di luar jangkaan,” katanya yang berpuas hati dengan kerjasama setiap peserta kursus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 8:34 AM