DENGAN teknik silang dan sulam, gubahan jadi lebih cantik dan teratur.
DENGAN teknik silang dan sulam, gubahan jadi lebih cantik dan teratur.
Siti Zarinah Sahib


Siapa kata menggubah bunga memerlukan kos yang mahal? Hanya menggunakan bahan terbuang sesiapa saja mampu menampilkan gubahan bunga yang diinginkan selama ini.

Apa yang penting adalah daya kreativiti bagi menghasilkan gubahan yang segar dan unik.

Menurut Pakar Bunga Negara Mohd Azmy Osman, di sekeliling kita ada pelbagai tumbuhan yang boleh dijadikan asas gubahan.

“Misalnya pokok liar yang tumbuh melata dapat dijadikan bahan utama selain ditambah dengan hiasan sampingan lain seperti sabut kelapa dan kulit kayu. Bukankah ia langsung tidak mengeluarkan belanja?,” katanya.

Sambil menunjukkan cara menghasilkan gubahan indah menggunakan bunga liar, Azmy menjelaskan sebaik-baiknya pilih bunga yang tidak beracun dan selamat.

Kemudian gandingkan dengan kulit batang kayu dan sabut kelapa.

“Untuk hasil yang memuaskan kopek batang kayu dengan elok agar tidak pecah. Untuk tahan lama rendam terlebih dulu,” katanya.

Cara menggubah bunga juga perlulah betul. Pastikan bunga liar digubah secara putaran seolah-olah anda ingin menggubah bunga tangan.

“Dengan menggunakan teknik silang dan sulam, gubahan bunga menjadi lebih cantik dan teratur. Malah ia menjadikan gubahan tampak segar dan indah, “katanya.

Agar bunga tahan lama, pastikan anda meletakkan kapas basah di bahagian akar bunga supaya airnya dapat diserap.

Dekorasi comel ini sesuai diletakkan di tengah meja makan kecil atau boleh digantung menggunakan tali tangsi.

“Apabila digantung ia kelihatan seolah-olah dekorasi meteor yang sedang jatuh ke bumi,” katanya.

Terima kasih: Mohd.Azmy.Osman (Instagram)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 5:00 AM