REKA bentuk ‘Rumah Kampung’ yang tersergam indah di laman centre court Suria KLCC.
REKA bentuk ‘Rumah Kampung’ yang tersergam indah di laman centre court Suria KLCC.
Nurul Sabrina Jamali

Dalam memeriahkan sambutan Syawal, Rangkaian Kumpulan Suria KLCC melancarkan kempen Hari Raya berinspirasikan suasana perkampungan nelayan di pantai timur sehingga 1 Mei depan.

Berlatarkan alunan muzik lebaran, dekorasi itu turut disesuaikan untuk memberikan pengalaman kepada pengunjung dalam mencetuskan memori silam.

Reka bentuk 'Rumah Kampung' tradisional menjadi tumpuan di laman centre court yang menjadi pusat perayaan di Suria KLCC.

Menariknya pelbagai aktiviti interaktif termasuk wayang kulit dan beberapa permainan tradisional lain seperti teng-teng, gasing dan congkak.

Kempen Hari Raya di Pusat Beli Belah Alamanda Putrajaya pula menampilkan tema Desa Nelayan sehingga 21 April ini.

Pengunjung turut dihiburkan melalui persembahan tradisional seperti pencak silat, dikir barat, tarian gamelan, caklempong dan kompang berirama.

REPLIKA pelita turut menyerlahkan dekorasi.
REPLIKA pelita turut menyerlahkan dekorasi.

Pada masa sama, pusat beli-belah itu turut melancarkan inisiatif menyumbang semula kepada masyarakat.

Kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah turut diundang untuk bersama-sama menyertai sesi berbuka puasa.

Kanak-kanak ini menerima sumbangan duit raya selain daripada membeli-belah persalinan baju raya dan menonton pelbagai persembahan tradisional menarik.

Sementara itu, tema Nelayan Desa turut mewarnai persiapan menyambut Syawal di Pusat Beli-Belah Mesra Mall di Kemaman, Terengganu.

Dalam meraikan kehadiran Ramadan dan Syawal, pengurusan Pusat Beli-Belah Mesra Mall dengan kerjasama badan penguat kuasa tempatan menaja program buka puasa bersama insan kurang bernasib baik.

Ia dihadiri anak yatim dari Persatuan Kebajikan Al-Islam Huzai Kemaman.

Program sumbangan semula kepada masyarakat ini membawa tema Jalinan Mesra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:22 AM