Segelintir penjawat awam menjadikan jawatan sebagai 'lubuk cari duit', malah tanpa malu hidup bergelumang dengan rasuah selain salah guna kuasa.

Apa puncanya rasuah dan salah guna kuasa ini, adakah susah untuk bekerja dalam keadaan terhormat.

Bukan itu saja, malah rasuah ini umpama 'warisan' yang mana orang atasan akan mengajar orang baru untuk menerimanya menyebabkan gejala ini sukar dibendung.

Ikuti wawancara Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) TAN SRI SIDEK HASSAN dan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN berkaitan isu ini.

Pematuhan integriti dalam kalangan penjawat awam ketika ini rapuh?

Sekiranya saya dasarkan kepada laporan dan liputan dalam media massa dan media sosial, saya akan katakan bahawa pematuhan integriti dalam kalangan penjawat awam ketika ini adalah sangat rendah dan sangat menakutkan.

Sebagai mantan penjawat awam, ia amat mengecewakan. Ini kerana sangat banyak dilaporkan mengenai tangkapan dan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga lain-lain agensi penguatkuasaan terhadap perbuatan kurang integriti penjawat awam.

Saya juga percaya ada banyak lagi kes yang tidak dikesan dan tidak dilaporkan.

Tetapi saya berpendapat, sungguhpun nampak banyak, ia membabitkan hanya segelintir penjawat awam.

Bilangan pegawai yang tidak berintegriti itu tidak besar, kecil peratusannya berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam.

Namun begitu, ia umpama duri dalam daging. Perlakuan segelintir penjawat awam ini merosakkan nama perkhidmatan awam dan imej Malaysia.

Ia membawa kesan negatif terhadap daya saing daripada segi menarik pelaburan, baik tempatan atau asing dan lain-lain aktiviti ekonomi.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia boleh melarat dan merebak sehingga menjadi wabak dan virus yang boleh menghancurkan perkhidmatan awam serta negara.

Oleh itu, saya melihat keterbukaan sekarang dalam membincangkan isu ini walaupun nampak macam membuka pekung di dada adalah satu perbuatan yang sihat.

Malah, masyarakat termasuk dalam kalangan penjawat awam lebih kritikal terhadap perlakuan yang mungkin tidak dicemuh di masa lepas.

Saya percaya majoriti penjawat awam termasuk yang berkhidmat di agensi-agensi penguatkuasaan adalah berintegriti.

Mereka yang berintegriti ini tidak suka kepada pegawai yang tidak berintegriti. Malah, mereka pastinya tidak mahu bersekongkol dengan penjawat awam yang tidak berintegriti ini.

Contoh, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bekerjasama dengan SPRM pada Ops Selat untuk membongkar sindiket pemalsuan cop keluar dan masuk di sempadan negara yang membabitkan anggota dan pegawai JIM sendiri.

Agensi penguatkuasaan terdedah dengan kuasa tular. Sudut positifnya?

Pada zaman kurangnya penggunaan telefon pintar selain ketiadaan media sosial, kes salah laku dan ketirisan integriti kurang diketahui umum.

Zaman ini adalah zaman teknologi yang mana penggunaan telefon pintar dan media sosial hanya di hujung jari.

Sebarang kesalahan salah laku, terutamanya membabitkan penguat kuasa di lapangan, mudah dirakam sebelum ditularkan. Dan ada dalam kalangan masyarakat berpandangan, pastinya keadaan ketika ini sudah lebih teruk daripada dahulu.

Apa jenis kuasa sekalipun, sekiranya diiringi dengan niat yang baik, ia menjadi satu perkara yang positif.

Melalui kuasa tular di media sosial, setiap penjawat awam, bukan sahaja penguat kuasa akan lebih berhati-hati dan akan berfikir banyak kali sekiranya berniat untuk melakukan perbuatan tidak berintegriti.

Ini kerana masyarakat menjadi 'penyelia tidak berbayar' ke atas petugas-petugas di lapangan.

Dan masyarakat kini umumnya lebih kritikal dan tidak bertoleransi terhadap sebarang perlakuan yang tidak berintegriti.

Namun, ada kalanya apa yang ditularkan tidak memberikan intipati kejadian sebenar.

Sehubungan itu, masyarakat perlu menjadi pengadu yang bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan platform media sosial serta kuasa tular untuk mencapai kehendak dan kepentingan sendiri.

Sistem penggiliran tugas penjawat awam seperti penguat kuasa. Tidak boleh terlalu lama di satu-satu unit bagi mengelak elemen rasuah serta salah guna kuasa. Komen?

Kaedah ini boleh mengurangkan isu berkaitan rasuah. Penggiliran tugas dalam kalangan penjawat awam terutama yang membabitkan jawatan sensitif di tempat yang dikatakan menjadi 'lubuk' akan mengurangkan peluang kepada penawaran serta penerimaan rasuah.

Kaedah penggiliran tugas jawatan kepakaran perlu diperhalusi.

Contoh, jurutera tidak boleh dikenakan penggiliran tugas dan ditempatkan di bahagian kewangan. Ia tidak sesuai dengan kepakarannya.

Penggiliran tugas lebih rumit di jabatan-jabatan tertutup dan kecil seperti di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana peluang untuk naik pangkat juga terhad.

Itu sebabnya dipertimbangkan pertukaran di antara PBT dalam satu-satu negeri kerana PBT adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Namun begitu, penggiliran tugas bukan jalan penyelesaian kepada seluruh masalah.

Ada kes yang mana seseorang yang tidak berintegriti ini terjebak dengan aktiviti rasuah di awal-awal penempatan mereka lagi.

Oleh itu, selain kaedah penggiliran tugas, tindakan punitif yang tegas perlu dilaksanakan bagi salah laku yang tersebut.

Baik melalui tindakan undang-undang di mahkamah atau melalui prosiding tatatertib.

Rasuah umpama warisan. Daripada ketua jabatan hinggakan pegawai yang baru berkhidmat sanggup menerima rasuah.

Selepas berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 38 tahun, saya sangat terkesan dengan penyataan ini.

Saya melihat punca kepada berlakunya pemberian rasuah adalah kerana wujudnya ruang dan peluang yang terbuka luas, selain sikap tamak dan tidak berintegriti.

Peluang wujud apabila berlaku kelemahan di dalam sistem sedia ada. Contoh, kelulusan atau perkhidmatan lambat kerana banyak kerenah birokrasi menyebabkan ada pelanggan yang sanggup memberi rasuah untuk mendapatkan khidmat segera.

Sebab itu, segala usaha perlu diambil oleh jabatan-jabatan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kerja masing-masing.

Sekiranya diteliti, mungkin ada syarat-syarat dan keperluan-keperluan yang pada satu ketika dahulu perlu dan penting kini tidak relevan lagi dan patut dihapuskan.

Ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, tetapi juga mengurangkan beban kerja jabatan. Tetapi ia hendaklah dikaji dengan teliti dan tidak mengkompromi integriti.

Seelok-eloknya, kajian ini melibatkan pihak yang berkepentingan, termasuk pelanggan jabatan sendiri.

SPRM, PDRM antara dua agensi penguat kuasa paling utama di Malaysia. Namun, ia turut menjadi pusat 'kutipan wang' oleh pegawai tidak berintegriti.

Individu yang tidak berintegriti akan menjadikan apa sahaja agensi sebagai pusat 'kutipan wang.'

Bukan sahaja di agensi-agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan PDRM, malah di mana-mana agensi sekali pun.

Pada pandangan saya, pendedahan oleh PDRM mengenai gaya hidup mewah segelintir pegawai dan anggotanya adalah isyarat jelas bahawa pasukan penguat kuasa ini tidak mahu bersekongkol dan melindungi perkara salah.

Walaupun ia ibarat membuka pekung di dada, tindakan PDRM yang mengambil tindakan ke atas anggota mereka yang 'membawa lumpur' adalah langkah terpuji.

Ia seperti mereka sendiri membuang setitik nila daripada susu sebelanga mereka.

Mungkin penerima rasuah sudah diketahui ketuanya namun kerana individu terbabit di bawah seliaannya, individu berkaitan tidak diambil tindakan.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin menjadi penyebab.

Antaranya, bagi menjaga imej jabatan supaya tidak tercalar. Tambahan pula sekiranya rasuah ini membabitkan jabatan yang terkenal sebagai berintegriti.

Ketua jabatan juga sering berasa kasihan kerana individu di bawah seliaannya mempunyai tanggungan, punya keluarga dan lain-lain lagi.

Malah, adakalanya, tindakan tidak diambil kerana individu terbabit adalah rakan satu pengambilan sewaktu mula menyertai perkhidmatan awam.

Namun, adalah tidak tepat untuk mengatakan semua ketua jabatan tidak mengambil tindakan salah laku atau rasuah oleh pegawai di bawah seliaan mereka.

Contoh, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sangat tegas dan lantang memerangi rasuah dalam PDRM.

Begitu juga Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah JPJ yang bekerjasama dengan SPRM untuk membanteras rasuah dalam agensi masing-masing.

Saya percaya ketua-ketua jabatan yang lain juga berfikiran serupa.

Ingin saya tekankan, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 3C, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] sekiranya ketua jabatan tidak mengambil tindakan yang tegas bersabit salah laku pegawai-pegawai di bawah seliaan mereka.

Jika rasuah terus berleluasa, apa akan jadi kepada Malaysia dalam tempoh 10 tahun lagi?

Hilang nilai diri dan kepercayaan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 11:34 AM