PEMAIN  negara, Raja Norsharina Raja Shahbudin terjatuh selepas diasak pertahanan Victoria Vipers.
PEMAIN negara, Raja Norsharina Raja Shahbudin terjatuh selepas diasak pertahanan Victoria Vipers.
Ferzalfie Fauzi

Perth: Impian skuad hoki wanita negara untuk beraksi di separuh akhir Liga Hoki Australia (AHL) tidak kesampaian apabila dibelasah Victorian Vipers 2-6 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Perth semalam.

Menurut ketua jurulatih wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tidak beraksi dengan tenang terutama di awal saingan menjadi punca anak buahnya hilang fokus sehingga membiarkan lawan menjaringkan tiga gol berturut-turut pada suku kedua.

“Saya rasa pemain tidak biasa dalam keadaan seperti ini, apabila beraksi dalam perlawanan penting untuk mencari slot ke separuh akhir. Jadi usaha mereka berakhir begitu saja disebabkan kekalahan hari ini (semalam),” katanya.

Jelasnya, pada awal perlawanan anak buahnya tidak beraksi dalam keadaan tenang sehingga melakukan kesilapan untuk membolehkan lawan menjaringkan gol.

“Dalam perlawanan penentuan seperti ini memang kita memerlukan kemenangan ke atas lawan tapi selepas ketinggalan 1-3 dan 1-4, pemain mula berasa tidak bersemangat untuk kembali bangkit.

“Mana-mana pasukan harus belajar menghadapi situasi seperti ini, iaitu bermain dalam perlawanan penting yang menentukan hala tuju pasukan ke peringkat seterusnya,” kata Dhaarma Raj.

Dalam aksi semalam, skuad wanita negara ketinggalan 0-1 pada minit ke-10 melalui jaringan padang Emily Hurtz namun empat minit kemudian Hanis Nadiah Onn menjaringkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti.

Hurtz menambah gol kedua Victorian Vipers juga menerusi jaringan padang pada minit ke-19, sebelum Georgia Nanscawen menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Hannah Gravenall menjaringkan dua gol padang pada minit ke-31 dan 41 untuk menambah luka buat skuad wanita negara sebelum Hayley Padget menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Satu lagi gol Malaysian Tigress dihasilkan melalui jaringan padang pada minit ke-58, juga melalui Hanis Nadiah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:29 AM