PEMAIN skuad pembangunan  Sufi Ismat Rohulamin cuba melepasi halangan pemain ACT Canberra Lakers.
PEMAIN skuad pembangunan Sufi Ismat Rohulamin cuba melepasi halangan pemain ACT Canberra Lakers.
Ferzalfie Fauzi

Perth, Australia: Malaysia B (skuad pembangunan) terus kemarau kemenangan dan mata apabila mencatat kekalahan kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Hoki Australia (AHL) apabila tumpas kepada Australian Capital Territory (ACT) Canberra Lakers 1-3, semalam.

Skuad bimbingan Wallace Tan itu dihukum pada minit ke-24 apabila Lewis Shepherd berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku pertama.

Lima minit kemudian Malaysia B, seakan mampu untuk memberi tentangan hebat dalam perlawanan di Stadium Hoki Perth apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui jaringan padang Rafizul Ezry Mustafa.

Bagaimanapun, kelalaian pada suku terakhir menyebabkan Malaysia B melepaskan dua gol, melalui jaringan padang James Day (m-50) dan Jack Wallace (m-54), seterusnya kekal di tangga tercorot Kumpulan B.

Menurut Wallace, anak buahnya memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun ia gagal disempurnakan dengan baik dan gol kedua serta ketiga lawan sepatutnya boleh disekat jika tidak melakukan kesilapan.

Sementara itu, skuad wanita negara terus mempamerkan aksi cemerlang dalam Kumpulan B apabila mencatat kemenangan kali kedua, selepas mengalahkan South Australia (SA) Suns 4-2.

Pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu memperoleh gol seawal minit keempat apabila ketua pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Tiga minit kemudian kedudukan terikat 1-1 apabila Lucy Smith tidak berdepan masalah untuk menghukum kelemahan benteng negara juga melalui pukulan sudut penalti, sebelum rakan sepasukannya Jane Claxton menjaringkan gol kedua melalui jaringan padang.

Selepas ketinggalan 1-2 pasukan yang terkenal dengan nama gelaran Malaysia Tigress itu bagaikan harimau terluka apabila berjaya menjaringkan tiga gol berturut-turut bermula dengan pukulan sudut penalti Amarina pada minit ke-30.

Dua gol lagi disumbangkan Fazilla Sylvester Silin (m-33) dan Surizan Awang (m-37), kedua-duanya menerusi gol padang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:21 AM