DHAARMA (kiri) memberi arahan kepada pemainnya.
DHAARMA (kiri) memberi arahan kepada pemainnya.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara berjaya membentuk keyakinan pertama menjelang saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium bermula 21 Jun ini apabila mencatat kemenangan pada perlawanan pemanas badan pertama di Amsterdam, semalam.

Pasukan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu menewaskan kelab Divisyen Satu Belanda, HIC 3-1 sekali gus menebus kekalahan tewas 0-3 kepada kelab sama pada Siri Jelajah Eropah, Mac lalu.

Dhaarma nyata menarik nafas lega dan berpendapat anak buahnya berjaya mengikut corak taktikal yang ditetapkan.

“Saya beritahu kepada setiap pemain kita mahu beraksi dengan lebih agresif dan memulakan tekanan sejak awal permainan lagi.

“Lawan nampak agak terkejut dengan tempo permainan kami kerana mereka pernah menewaskan kita 3-0 pada Siri Jelajah Eropah sebelum ini,” katanya.

Jelas Dhaarma, gol awal Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ke-4 menerusi pukulan sudut penalti nyata memberi impak besar kepada kemenangan skuad negara.

“Gol awal itu meletakkan lawan berada dalam situasi sukar.

“Ini mungkin salah satu cara boleh kita gunakan dalam perlawanan yang memerlukan kemenangan pada saingan separuh akhir nanti,” katanya.

Kapten skuad negara Siti Amarina Ruhani mengukuhkan kedudukan skuad negara menerusi jaringan pukulan sudut penalti minit ke-20 sebelum penyerang sensasi Hanis Nadiah Onn melengkapkan kemenangan Malaysian Tigress dengan menambah gol ketiga tujuh minit menerusi jaringan sebelum tamat perlawanan.

HIC memperoleh gol sagu hati minit ke-57.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:31 AM