JURULATIH menunjukkan cara senaman yang berkesan untuk meningkatkan kecergasan.
JURULATIH menunjukkan cara senaman yang berkesan untuk meningkatkan kecergasan.

Biarpun sibuk dengan gaya hidup moden dan jadual serba padat, meluangkan sedikit masa untuk berehat bagi mengekalkan keseimbangan hidup dan tahap kesihatan diri sesuatu yang amat penting.

Menyedari kepentingan menjaga kesihatan, pusat beli-belah The Curve baru-baru ini, menganjurkan program Health and Wellness, yang membuka peluang kepada pengunjungnya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kecergasan dan latihan fizikal.

Hakikatnya, tiada cara yang lebih baik untuk meningkatkan stamina selain daripada bersenam. Menerusi kerjasama dengan Fitness First, peneraju industri kecergasan global, kempen ‘Fit, the New Fad the Curve’ itu mempamerkan konsep ruang senaman di bahagian Centre Court yang diubah menyerupai suasana dalam gimnasium dilengkapi cermin. Kempen senaman selama 10 hari itu berjaya menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan umur dan tahap kecergasan.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai peralatan senaman turut disediakan Fitness First dalam usaha mewujudkan suasana penuh motivasi untuk memberi dorongan kepada semua peserta sepanjang sesi senaman.

Aktiviti Cabaran Kecergasan turut diadakan pada Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh kempen dengan menampilkan 10 cabaran berbeza mengikut tahap kesukaran yang dipelbagaikan.

Antara cabaran itu adalah kayuhan basikal, mesin mendayung, cabaran mencangkung, beberapa gerakan senaman dan lompatan yang menguji daya ketahanan, kelajuan dan keseluruhan tahap kecergasan peserta.

Peserta Cabaran Kecergasan juga diberi peluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk pakej keahlian sehingga tiga bulan di Fitness First, selain 500 baucar percubaan percuma di pusat senaman berkenaan.

Pengurus Besar The Curve Jazmi Kamarudin berkata, melalui kempen tahunan itu, pihaknya berusaha memupuk serta menggalakkan gaya hidup sihat di the Curve.

Melalui kerjasama bersama rakan lain, pihaknya mahu memastikan pengunjung mendapat manfaat daripada kelas dan tenaga jurulatih yang tersedia.

“Kami mahu pengunjung menikmati semua aktiviti yang disusun dan mengambil kesempatan itu untuk menjalani gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Pada masa sama, pengunjung yang meminati sesi senaman interaktif juga diberi peluang menyertai sesi senaman berkumpulan dan latihan berkumpulan secara bebas diketuai jurulatih berkelayakan dan menawarkan pelbagai pilihan aktiviti kardio dan latihan kekuatan.

Antara senaman yang ditunjukkan ialah kelas Body Jam bagi mereka yang gemar menari manakala kelas Body Combat dan Body Attack sesuai untuk mereka yang inginkan aktiviti lebih lasak, manakala kelas Body Balance bagi mereka yang berminat untuk melatih bahagian teras dalaman dan keseimbangan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:00 AM