Gerakan menari dengan irama rancak di dalam air mungkin dianggap sukar bagi yang belum pernah mencuba. Walaupun gerakan ini dilihat berlainan daripada senaman biasa, ia semakin diterima ramai.

Senaman ini dikatakan salah satu alternatif unik untuk membantu menaikkan semangat dan motivasi diri bagi mendapat tubuh ideal tanpa perlu berlari beratus kilometer.

Memulakan tahun 2015 dengan penuh semangat dan bertenaga, Celebrity Fitness Malaysia meneruskan aktiviti tarian Aqua Zumba yang diperkenalkan sejak 2013.

Menurut Naib Presiden Celebrity Fitness Malaysia Ryan Cheal, bagi mencetus rasa teruja untuk memulakan tahun baru dengan menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup sihat, Parti Aqua Zumba diadakan, baru-baru ini.

"Kami sentiasa berusaha memperkenalkan alternatif unik dan kelas menarik untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Kelas untuk memastikan tubuh sihat ini diadakan penuh menyeronokkan selaras dengan Kempen Fit Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan," katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Pengurus Kumpulan Kecergasan Celebrity Fitness Malaysia Sunny Cheong, Pegawai Buku Rekod Malaysia (MBR) Nurul Huda Zakaria dan Pengurus Negara Kumpulan Celebrity Fitness Malaysia Kris Malhotra.

Pada masa sama, pusat kecergasan itu turut menerima pengiktirafan daripada MBR sebagai pusat kecergasan pertama yang memperkenalkan Aqua Zumba di negara ini.

Sementara itu, bagi anda yang memang sukar untuk melakukan latihan fizikal yang memerlukan banyak tenaga, tarian Aqua Zumba jawapan terbaik.

Tarian ini kaedah senaman dalam kolam renang yang diperkenalkan di Sepanyol dan secara umumnya dicipta untuk membantu memperbaiki kesihatan badan.

Tidak perlu menghafal setiap langkah senaman, peserta hanya perlu mengikut rentak muzik yang dimainkan dan diikuti gerakan secara dinamik.

Selain membantu meningkatkan stamina, ia juga berupaya menguatkan otot dan lebih istimewa apabila senaman ini dilakukan secara berkumpulan.

Senaman yang dilatari dengan irama eksotik daripada muzik Latin dan antarabangsa yang bertenaga itu berpandukan pengajar sebagai ketua.

Diketuai oleh jurulatih Celebrity Fitness Sunny Cheong dan Deno Au, senaman berkenaan baik untuk kecerdasan otot teras kerana ia membabitkan pergerakan kaki dan tangan.

Malah, senaman akuatik yang berisiko rendah ini dikatakan pilihan terbaik untuk mereka yang menghadapi masalah sakit belakang dan sakit sendi.

Menariknya, pendekatan yang diterapkan menerusi tarian itu menepati ciri seperti selamat, mencabar dan menceriakan selain menggunakan gerakan senaman berimpak rendah.

Percaya atau tidak, gerakan tarian yang menggunakan keseluruhan anggota badan itu mampu membakar 400 kalori dengan hanya menghadiri satu kelas senaman.

Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.celebrityfitness.com.my atau http://www.facebook.com/CelebrityFitnessMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:00 AM