AZURA Zainal dan rakan sepasukan Ahmad Daud dalam cabaran Kettlebell Squat.
AZURA Zainal dan rakan sepasukan Ahmad Daud dalam cabaran Kettlebell Squat.
MARK dan Marcella dalam salah satu cabaran.
MARK dan Marcella dalam salah satu cabaran.
PESERTA bersama rakan sepasukan selebriti pada program berkenaan.
PESERTA bersama rakan sepasukan selebriti pada program berkenaan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Seiring perkembangan zaman dan teknologi yang semakin pesat dan gaya hidup yang kian berubah, aktiviti fizikal atau senaman menjadi kurang penting buat kita.

Namun, setiap orang perlu sedar senaman begitu penting bagi memastikan kesihatan yang unggul, malah ia memberi kesan besar dari segi fizikal, psikologi, sosial dan mental setiap individu.

Kini, semakin banyak pusat kecergasan diwujudkan kerana menyedari semakin ramai yang menitikberatkan penjagaan kesihatan dan mengekalkan kecergasan.

Lebih menarik, pusat kecergasan ini kebanyakannya mengambil inisiatif untuk menjadikan pusat berkenaan bukan saja semata-mata untuk melakukan aktiviti senaman, tapi juga program menarik dan lebih menghiburkan.

Justeru, dalam memberi kesedaran serta mendidik masyarakat betapa pentingnya mengamalkan senaman dalam kehidupan seharian, pusat senaman Celebrity Fitness sentiasa tampil dengan pelbagai program yang dianjurkan bagi mengajak lebih ramai golongan me­nyertai aktiviti mereka.

Bertempat di ruang legar pusat beli-belah 1Utama Petaling Jaya, Celebrity Fitness sekali lagi menganjurkan Celebrity Fitness Indoor Fitathlon dengan menggabungkan 20 selebriti Malaysia bersama 20 ahli kumpulan mereka berkongsi aktiviti untuk disaksikan orang ramai.

Antara selebriti terbabit ialah Peter Davis, Tony Eusoff, Steve Yap, Angeline Ooi, Aenie Wong, Azura Zainal, Brian Chen, Cindy Chen, Gary Yap, Hana Teo, Ian Ong, Jason Phang, Jess Chong, John Oh, DJ Lin, Linora, Mark O’Dea, Phirence, Terry Ong dan Winson Voon.

Pengurus Kumpulan Celebrity Fitness Malaysia & Singapura Kris Malhotra berkata, Celebrity Fitness Indoor Fitathlon 2015 dilaksanakan untuk tahun kedua selepas kejayaan program itu tahun lalu.

“Tidak seperti cabaran kecergasan lain, Fitathlon di tempat tertutup ini menggabungkan peserta yang terdiri daripada orang awam bersama selebriti kegemaran mereka untuk berjuang merebut gelaran juara kecergasan,” katanya.

Melalui program Celebrity Fitness Indoor Fitathlon, Kris berkata, setiap ahli tidak hanya berpeluang beramah mesra dengan selebriti yang terbabit, malah mereka juga layak memenangi hadiah disediakan berjumlah keseluruhan RM30,000.

“Setiap aktiviti yang kami anjurkan tidak hanya menggalakkan ahli untuk bersenam, malah mereka boleh berkongsi pengalaman bermakna di sini dengan menyertai program di samping membawa pulang hadiah lumayan.

“Sebanyak 10 stesen senaman disediakan dalam program ini dengan setiap kumpulan terbahagi kepada dua orang iaitu selebriti dan orang awam.

“Mereka perlu melakukan setiap jenis senaman dengan menghabiskan seberapa banyak cabaran dalam tempoh 40 saat. Antara cabaran yang perlu dilakukan termasuk Kettlebell Squat dan RMT Ground Strike,” katanya.

Sementara itu, penyanyi dan penyampai televisyen Mark O’Dea berkata, dia yang pertama kali menyertai program itu tidak menjangka program terbabit lebih mencabar daripada apa yang difikirkannya, namun ia amat menyeronokkan.

“Saya percaya, saya dan pasangan dalam cabaran ini sudah melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan cabaran. Kata-kata semangat daripada rakan sepasukan memberi kekuatan untuk meneruskan cabaran dan saya berbangga dengan kesungguhan kami. Ia seakan-akan kemenangan peribadi kerana dapat menghabiskan semua set,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:00 AM