SEBAHAGIAN daripada 2,100 peserta yang menyertai acara larian anjuran SJMC sempena Hari Diabetes Sedunia, baru-baru ini.
SEBAHAGIAN daripada 2,100 peserta yang menyertai acara larian anjuran SJMC sempena Hari Diabetes Sedunia, baru-baru ini.
Nor Faizah Mohamed

Ramai yang ingin bersenam untuk kurus, tetapi kurang yang menetapkan sasaran untuk menjaga kesihatan. Lazimnya, bersenam hanya dilakukan selepas diri disahkan berpenyakit dan kebanyakannya sekadar separuh jalan disebabkan cepat keletihan dan kurangnya motivasi.

Bagaimanapun, tabiat menjaga kesihatan bukan sekadar melakukan senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pengambilan makanan yang sesuai dan menyihatkan juga penting dalam memastikan kesihatan diri berada pada tahap optimum.

Nasi yang menjadi makanan ruji bagi rakyat Malaysia sering dianggap sumber makanan yang boleh menggemukkan lalu memberi risiko penyakit seperti serangan jantung.

Perkara sama juga bagi gula apabila ramai yang gemarkan minuman manis dan kurang mengambil air kosong pada kadar ditetapkan.

Justeru, bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan bersenam dan menjaga pemakanan, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) melancarkan program larian sempena Hari Diabetes 2016, baru-baru ini.

Lebih 2,100 peserta termasuk 25 golongan kurang upaya dan 278 kanak-kanak memulakan aktiviti mereka dengan senaman pemanas badan sebelum peserta dilepaskan mengikut kategori masing-masing.

Ini kali kedua larian seumpamanya dianjurkan selepas kali pertama pada 2014. Berbanding dengan edisi pertama, penganjurannya kali ini menyaksikan lebih ramai peserta memilih laluan sukar iaitu jarak 10 kilometer.

Bertemakan ‘Be Fit, Don’t Quit’, acara ini menyasarkan kepada kempen kesedaran dan pencegahan dalam kalangan masyarakat mengenai impak diabetes terhadap kehidupan serta keluarga mereka.

“Kami teruja dengan lebih banyak penyertaan tahun ini yang merangkumi pelbagai peringkat usia. Ini sejajar dengan sasaran kami iaitu berusaha memberi kesedaran kepada setiap golongan mengenai kesan diabetes terhadap kualiti kehidupan mereka dan keluarga.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, makin ramai penduduk Malaysia didapati menghidap diabetes tahap dua yang boleh dirawat jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Dr Vasuhi Murugiah.

Dr Vasuhi menambah, seluruh ahli keluarga perlu terbabit dalam perubahan gaya hidup ini bagi memastikan generasi akan datang lebih peka dengan penyakit yang diwarisi.

Bagi memeriahkan acara, pelbagai aktiviti diadakan untuk kanak-kanak termasuk pertandingan hula hoop dan sesi zumba yang dijalankan pelatih dari Fitness First.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 12:51 PM