PASUKAN Hazmat melakukan kerja pembersihan tumpuhan merkuri di Sekolah Menengah Sains, Labuan. FOTO ihsan bomba
PASUKAN Hazmat melakukan kerja pembersihan tumpuhan merkuri di Sekolah Menengah Sains, Labuan. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana

Labuan: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu dibawa ke hospital selepas termometer mengandungi cecair merkuri jatuh dan pecah lalu terkena tiga pelajar terbabit di bilik makmal Sekolah Menangah Sains, Labuan, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, ketiga-tiga pelajar yang cedera di mata, tangan dan gatal di badan masih menerima rawatan di Hospital Nukleus Labuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.57 pagi.

"Seramai 25 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian bersama Pasukan Unit Berbahaya (Hazmat) dan sebaik tiba didapati seunit termometer pecah di bilik makmal di sekolah berkenaan.

"Anggota bomba kemudian mengambil langkah segera membersihkan kawasan berkenaan sehingga selesai," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, tiga pelajar perempuan tingkatan satu dikejarkan ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan lanjut selepas cedera di bahagian mata, tangan dan gatal-gatal di tubuhnya akibat terkena bahan kimia berkenaan.

Menurutnya, operasi tamat 10.19 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:59 PM