Pembersihan dilakukan pasukan HAZMAT di lokasi termometer mengandungi cecair merkuri jatuh dan pecah lalu terkena tangan pelajar di makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Pembersihan dilakukan pasukan HAZMAT di lokasi termometer mengandungi cecair merkuri jatuh dan pecah lalu terkena tangan pelajar di makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau, pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Pelajar lelaki tingkatan empat dibawa ke hospital selepas termometer mengandungi cecair merkuri jatuh dan pecah lalu terkena tangannya di makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau, pagi ini.

Dalam kejadian jam 10.55 pagi itu, mangsa bersama 20 pelajar lain sedang menjalankan uji kaji bagi subjek Sains sebelum termometer berkenaan, terjatuh.

Ketua Pasukan Khas Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) negeri, Mohamad Idris berkata, seramai 15 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 11.02 pagi.

"Sebaik tiba, semua pelajar terbabit dikuarantin sementara manakala seorang pelajar lelaki yang cedera dibawa ke klinik berhampiran oleh guru untuk mendapatkan rawatan.

"Selain itu, 10 pelajar masing-masing lima lelaki dan lima perempuan diarahkan mandi kerana dikhuatiri terkena bahan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk melakukan pembersihan merkuri sebelum makmal berkenaan boleh digunakan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 6:44 PM