Tiga belas pelajar SMK Paya Rumput dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan selepas termometer makmal pecah. FOTO Zairee Mohd Yasak
Tiga belas pelajar SMK Paya Rumput dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan selepas termometer makmal pecah. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


TIGA belas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Rumput, Melaka Tengah, Melaka dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada pencemaran raksa daripada termometer yang pecah ketika melakukan uji kaji dalam makmal, tadi.

Pada kejadian jam 1.40 tengah hari, termometer digunakan lima pelajar tiba-tiba pecah dan atas sebab keselamatan, rakan mereka yang berada berhampiran turut dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu Pegawai Bomba Jamian Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.45 tengah hari.

“Susulan maklumat diterima, anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikejarkan ke sekolah itu untuk membersihkan tumpahan raksa.

“Terdahulu, semua 13 pelajar yang berada dalam makmal itu diarahkan menjalani proses nyah cemar sebelum dibawa ke Hospital Melaka,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, tujuh pelajar lelaki dan enam perempuan berada dalam makmal terbabit.

Sementara itu, Pengetua SMK Paya Rumput Rubaiya Abu Nawas berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian kepada ibu bapa semua pelajar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 8:14 PM