Hodak (kiri) dan Bacina dalam kedudukan bahaya. FOTO FAP
Hodak (kiri) dan Bacina dalam kedudukan bahaya. FOTO FAP
BERNAMA

Georgetown: Persembahan hambar skuad Pulau Pinang meletakkan kedudukan ketua jurulatihnya, Nenad Bacina serta Pengarah Urusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Bojan Hodak dalam bahaya.

Ini kerana kekalahan demi kekalahan dialami skuad Harimau Kumbang dalam Liga Super turut memberi kesan kepada Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.

"Sekiranya kami tersingkir, bukan hanya nasib Hodak dan Bacina dalam bahaya, kedudukan saya juga dalam bahaya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nazir Ariff turut menzahirkan rasa kecewa terutamanya terhadap pemain tempatan pasukan itu yang gagal mempamerkan prestasi yang baik dan konsisten.

Mengambil contoh Muhamad Faiz Subri, beliau berkata walaupun berjaya menjaringkan gol sehingga mendapat perhatian dunia pemain itu gagal menyerlah dalam perlawanan selepas itu.

"Kita memulakan saingan dengan baik namun pemain gagal mempamer prestasi konsisten menyebabkan kami kembali ke tangga kedua tercorot liga. Pemain kita tidak ada semangat kesukanan. Kebanyakan mereka hanya mengejar ganjaran, sejujurnya saya sangat kecewa dengan mereka," katanya.

Hodak dan Bacina serta dua pemain import, Ranti Martins and Jeong Seok-Min dibawa oleh FAP awal Mei lalu untuk menyelamatkan Harimau Kumbang daripada tersingkir dari Liga Super.

Hodak dihubungi berkata beliau tidak merasa tertekan dan yakin Bacina melakukan yang terbaik kerana berjaya mengangkat pasukan daripada hanya mengutip enam mata kepada 19 mata.

Hodak berkata pasukan itu perlu menang perlawanan terakhir menentang Terengganu pada 22 Oktober depan untuk memastikan Pulau Pinang tidak tersingkir daripada Liga Super.

Pulau Pinang kini menghuni tangga ke-11 liga.

Kegagalan memperoleh tiga mata menentang Terengganu akan menyebabkan pasukan itu tersingkir daripada Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 4:53 PM