NAZIR Ariff (tengah) beramah mesra Seok Min (dua kiri) dan Ranti (kiri) sambil diperhatikan Ketua Pengarah Urusan (CEO) FAP, Bojan Hodak (dua kanan) dan Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Nenad Bacina (kanan). FOTO Mikail Ong
NAZIR Ariff (tengah) beramah mesra Seok Min (dua kiri) dan Ranti (kiri) sambil diperhatikan Ketua Pengarah Urusan (CEO) FAP, Bojan Hodak (dua kanan) dan Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Nenad Bacina (kanan). FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Pasukan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memperkenalkan dua pemain import baru bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Pulau Pinang dalam saingan Liga Super yang bermula Sabtu ini.

Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, kedua-dua pemain import itu ialah bekas penyerang East Bengal, Ranti Martins Soleye, 29, dari Nigeria dan Jeong Seok Min, 28, pemain dari Jeonnam Dragons FC, Korea Selatan.

Beliau berkata, kemasukan rasmi Martins dan Seok Min bagi mengantikan dua pemain import terdahulu iaitu Osas Marvelous Ikpefua dan Brent Griffiths selain menguatkan lagi jentera serangan Harimau Kumbang bersama pemain lain untuk terus kekal dalam saingan Liga Super.

"Kedua-dua pemain inimemiliki kriteria yang tersendiri dan apa yang diharapkan mereka dapat mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super tidak lama lagi selain memberikan mereka masa untuk lebih serasi bersama pemain pasukan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Martins adalah penjaring terbanyak Liga India pada dua musim terakhir dengan 29 gol dalam 36 penampilan bersama East Bengal serta pernah memenangi tujuh gelaran Kasut Emas Liga India manakala Seok Min akan diletakkan dalam posisi pertahanan bergandingan bersama pemain, Mafry Balang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif FAP, Bojan Hodak dan Ketua Jurulatih FAP, Nenad Bacina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 3:01 PM