BACINA (kanan) bersama kapten Pulau Pinang Mathias Jesus Cordoba (dua dari kanan), kapten Adelaide United Eugene Galekovic dan jurulatih Guillermo Amor (kiri).
BACINA (kanan) bersama kapten Pulau Pinang Mathias Jesus Cordoba (dua dari kanan), kapten Adelaide United Eugene Galekovic dan jurulatih Guillermo Amor (kiri).
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Walaupun menduduki tangga kedua tercorot, Pulau Pinang enggan mengaku kalah sebaliknya akan terus bersemangat memburu kemenangan pada baki tiga perlawanan terakhir supaya kekal dalam kancah Liga Super musim depan.

Kekalahan dalam dua perlawanan terakhir di tangan Kelantan (2-3) dan Perak (1-4) tidak mahu terus diratapi, sebalik Pulau Pinang optimis memburu kemenangan bermula dengan aksi menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bandaraya, Sabtu depan.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Nenad Bacina berkata, peluang masih lagi terbuka buat pemain skuad bimbingannya dan beliau yakin pasukannya mampu mencapai kemenangan pada baki tiga lagi perlawanan Liga Super.

“Kita tidak mungkin mengalah dengan mudah, malah terus bersemangat untuk terus mara kerana perjuangan masih lagi berterusan sehingga tamat saingan liga.

“Secara peribadi, saya percaya kita mampu beraksi dengan baik dalam tiga perlawanan terakhir, sekali gus kekal dalam persaingan Liga Super,” katanya.

Bacina berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan Pulau Pinang menentang Adelaide United FC, semalam.

Skuad Harimau Kumbang akan bertemu juara bertahan Liga Super Australia itu Stadium Bandaraya, malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden FAP Datuk Gary Nair, Ketua Pegawai Eksekutif FAP Bojan Hodak dan Ketua Pasukan Adelaide United FC Eugene Galekovic.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:08 AM