FARHAN Tee (kanan) menerangkan kepada peserta yang fasih dalam bahasa Hokkien.
FARHAN Tee (kanan) menerangkan kepada peserta yang fasih dalam bahasa Hokkien.

Pemurnian ibadat antara wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah terpuji termasuk dalam kalangan saudara baru atau mualaf.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan menganjurkan Program Pemurnian Ibadat Saudara Muslim Cina bertempat di Bangunan Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

Program itu menghimpunkan 60 saudara Muslim berketurunan Cina dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebahagian besar peserta memeluk Islam lebih dua tahun.

Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Mohd Jogi Maruli berkata, program itu bertujuan memberi kefahaman lebih mendalam kepada saudara Muslim Cina.

Penggunaan bahasa seperti Mandarin, Kantonis dan Hokkien alternatif terbaik bagi melancarkan komunikasi untuk menyampaikan ilmu.

Ia program kali kedua yang dianjurkan dan sebelum ini, Program Pemantapan Akidah Saudara Muslim India diadakan pada Ogos lalu.

Mohd Jogi berkata, kes murtad gejala yang sangat membimbangkan dalam kalangan mualaf dan masyarakat Islam kerana kekurangan ilmu agama khususnya dalam bab akidah serta solat.

“Ia turut memberi pendedahan termasuk latihan secara teori dan praktikal berkenaan akidah serta solat kepada peserta selain amalan kehidupan Islam seharian,” katanya.

Penyampaian slot ceramah dan soal jawab bertajuk Pemurnian Ibadat adalah program utama yang disampaikan Pengerusi Pertubuhan Al-Khadeem, Syeikh Hussein Yee Abdullah dan Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan Perkim, Sulaiman Ding Yu Zhong.

Maljis diserikan lagi dengan ucapan perasmian Pengerusi Perkim Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Mohd Nakhaie dalam ucapannya berkata, Perkim adalah organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi dalam penyebaran dakwah Islamiah dan menjalankan usaha kebajikan.

Program itu salah satu inisiatif untuk melahirkan saudara Muslim bertakwa selain memperkukuhkan atau memantapkan lagi minat peserta dalam menuntut ilmu agama.

“Apabila menerima Islam, dengan secara tidak langsung mereka adalah saudara kita walaupun berlainan bangsa,” kata Mohd Nakhaie yang juga Naib Yang Dipertua Perkim.

“Sebagai saudara Muslim, kita perlu menjadikan golongan yang mempraktikkan agama Islam tidak kira Melayu atau Cina sekali pun sebagai suri teladan (role model),” katanya.

Pengerusi Biro Dakwah Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Amran Anbarasu Abdullah berkata, usaha dakwah itu penting bagi melahirkan peserta berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan dan bertanggungjawab.

“Saudara Muslim perlu mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan Perkim secara percuma supaya mereka dapat mendalami pelajaran agama Islam yang dikendalikan guru bertauliah,” kata Amran yang juga kakitangan UPPP Perkim Kebangsaan.

Malah peserta dianjurkan mengikuti kursus anjuran Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan badan bukan kerajaan bagi mempertingkatkan ilmu agama Islam seperti kursus kefahaman Islam, kelas fardu ain, kelas al-Quran dan khemah ibadat kerana segelintir saudara Muslim Cina kurang pendedahan dalam Islam meskipun sudah beberapa tahun memeluk Islam.

Pada masa sama, peserta turut dibahagikan kepada lima pemudah cara melalui perhimpunan berbentuk ilmu fardu ain dan bacaan dalam solat bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam serta mengaplikasikan pelajaran secara amali.

Turut hadir, Timbalan Pengarah UPPP Perkim Kebangsaan, Datuk Abdul Hanif Harun, Pegawai UPPP Perkim Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah serta Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan dan Penolong Pegawai UPPP, Fatin Farhana Masdan. - Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 6:25 AM