Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kulim, Kedah mengaku tidak bersalah Di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan bersama menerima suapan RM100 daripada pemandu lori pada September 2015.

Tertuduh, Erwan Saidin dan Mohamad Asri Ismail, kedua-duanya berusia 34 tahun, meminta dibicarakan apabila ditanya jurubahasa mahkamah sejurus pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama, menerima suapan RM100 daripada Azahar Ahmad, 47, (pengadu) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu lori disyaki membawa lebih muatan.

Erwan dan Mohamad Asri yang bertugas di Unit Operasi, JPJ Kulim didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Padang Meha menghala Jalan Sungai Karangan, dekat sini, pada 23 September 2015,jam 12.32 tengah hari.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yangÂmemperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Timbalan Pendakwa Raya A Hafiizh Abu Bakar menjalankan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 setiap tertuduh dan 11 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 11:51 AM
Mohamad Asri (kiri) dan Erwan yang dituduh bersama menerima suapan RM100 daripada pemandu lori pada September 2015 diiringi anggota SPRM. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohamad Asri (kiri) dan Erwan yang dituduh bersama menerima suapan RM100 daripada pemandu lori pada September 2015 diiringi anggota SPRM. FOTO Sharul Hafiz Zam