Lau (kiri) di hadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Setar atas pertuduhan merasuah anggota polis pada November tahun lalu. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Lau (kiri) di hadapkan ke Mahkamah Sesyen, Alor Setar atas pertuduhan merasuah anggota polis pada November tahun lalu. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Peniaga barangan ibadat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan memberi rasuah kepada pegawai polis November tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Lau Ah Hock, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hokkien terhadapnya di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain dan meminta untuk dibicara.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memberikan suatu suapan iaitu wang tunai RM500 kepada pegawai polis Inspektor Norfaizal Mohd yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya yang melakukan kesalahan kegiatan judi loteri awam tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Perniagaan Gaharu Soon Lee Huat No 278A Jalan Aman, Kulim jam 3.35 petang pada 4 November 2015.

Kesalahan terbabit dilakukan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela Jasni Mahamad.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 26 Oktober tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:35 PM