POTONGAN busana ikut bentuk tubuh dibantu solekan wajah dan rambut.
POTONGAN busana ikut bentuk tubuh dibantu solekan wajah dan rambut.
Rudy Imran Shamsudin

Penampilan selebriti jelita di karpet merah harus selari dengan dandanan digayakan. Terutama apabila mereka memilih busana dengan potongan menonjolkan bentuk tubuh.

Acara karpet merah di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang berlangsung awal bulan ini memperlihatkan beberapa pelakon wanita hadir dalam gaya sedemikian.

Bagaimanapun, dandanan ditampilkan membuatkan penampilan mereka tidak kelihatan seksi sebaliknya penuh keanggunan.

Ada antara artis hadir tetap nampak seksi dan memukau mata memandang walaupun tidak berpakaian terdedah. Ini kerana potongan busana dipakai mengikut bentuk tubuh dan dibantu solekan wajah dan dandanan rambut.

Gaun potongan duyung tidak berlengan dipakai Maya Karin tanpa sarat perhiasan membuatkan Maya begitu menyerlah. Rambut dibiar lepas meliputi bahu memberikan ilusi anggun dan melengkapkan penampilan.

Pelakon popular 1980-an, Nor Albaniah membuktikan kecantikan milik wanita semua usia. Berjaya mengekalkan susuk tubuh langsing, Nor Albaniah mencuri tumpuan lensa kamera dengan gaun melekap tubuh berwarna jingga. Dandanan dan solekan ditampilkan berjaya menyembunyikan usianya yang sebenar.

Adeline Tsen menang bergaya apabila gaun digayakan ‘membiaskan’ tubuh apabila dicantum bersama satin organza meliputi belakang membawa ke pinggang, sebahagian tubuh hingga ke pangkal lengan. Dandanan rambut ala dewi Yunani dengan anting-anting gantung butir hujan, menambah keanggunan dalam gaya ditampilkan.

Dua artis popular, Christine Suzanne dan Diana Danielle memilih gaun menampilkan potongan luas di bahagian bahu.

Namun begitu, ilusi potongan ala riben besar jatuh dari bahu dipakai Christine menyerlahkan kreativiti si pereka bagi membantu pelakon versatil itu nampak sedikit seksi di acara karpet merah.

Dramatis popular, Zara Zya memilih gaun labuh hitam bertatah jemeki. Namun demikian, dandanan rambut lurus dan solekan berbeza membuatkan dia tampil anggun dan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:03 AM