Oleh Siti Zarinah Sahib

Selain industri fesyen serta warna solekan yang rancak berubah serta beralih mengikut peredaran zaman, apa lagi yang akan menjadi tumpuan menjelang 2015? Tidak kurang hebatnya gaya dandanan rambut yang sentiasa bertukar merentas masa, seiring dengan kemajuan industri dandanan itu sendiri.

Optimis gaya dandanan akan berubah kepada konsep semula jadi, menurut Presiden Persatuan Pendandan Malaysia (MHA) Billy Lim, menjelang 2015, gaya rambut yang mudah diurus dan menonjolkan kecantikan sedia ada tanpa menggunakan banyak warna bakal menjadi gaya semasa dan menjadi ikutan lelaki mahupun wanita.

Berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri dandanan, Lim yang rancak memperjuangkan potensi pendandan rambut di Malaysia menjelaskan, gaya rambut mencerminkan keperibadian seseorang. Untuk itu agar kelihatan segar dan menarik, pemilihan gaya harus sesuai dengan bentuk wajah dan karakter si pemiliknya. Ini kerana tidak semua wanita sesuai dengan gaya rambut beralun begitu juga rambut pendek, paras bahu atau panjang melepasi pinggang.

"Setiap potongan sesuai mengikut bentuk wajah serta personaliti. Sebab itu ada pepatah mengatakan rambut sebagai mahkota wanita kerana dandanan yang sempurna akan memperlihatkan sisi wanita yang kelihatan feminin, lembut atau sebaliknya. Rambut berpotongan paras bahu misalnya sesuai untuk mereka yang memiliki wajah bujur manakala gaya beralun untuk mereka yang malas merapikan rambut. Kesan sedikit kusut akan kelihatan lebih cantik apabila digayakan wanita yang memiliki sifat lembut," katanya.

Menjelang 2015, gaya dengan gabungan dua atau tiga potongan tradisional iaitu potongan pendek dengan sedikit beralun pada bahagian hujung akan kembali menguasai pasaran. Sama ada pendek atau panjang, kedua-duanya mengambil pendekatan lebih senang dan mudah iaitu mengekalkan gaya mudah diurus, lembut dan tidak ganas.

"Gaya rambut yang sederhana dan mudah diurus menjadi pilihan menjelang tahun depan. Ini kerana gaya sebegini sesuai untuk semua personaliti sama ada ke pejabat, moden atau santai," katanya.

Warna pula akan mengekalkan rona semula jadi tanpa banyak campuran sama ada gelap atau terang. Tiada lagi warna yang terlalu funky atau ranggi tetapi kembali kepada cita rasa asal, sesuai dengan budaya Malaysia.

Bagi mereka yang gemar pada potongan rambut shaggy sama ada panjang atau pendek, mereka tetap kelihatan menarik. Namun potongan ini sesuai untuk mereka yang berwajah segi tiga dan memiliki dagu yang bujur. Dengan memberikan tambahan nilai rambut pada bahagian atas, ia akan menampakkan wanita lebih cantik dan anggun.

Begitu juga mereka yang ingin menghadiri acara makan malam atau pesta dandanan, sanggul dengan membiarkan rambut dikemaskan ke bahagian atas akan memberikan penampilan lebih elegan dan menawan. Tambah pula apabila digayakan dengan gaun labuh bersama perhiasan anting-anting sudah pasti gaya anda menjadi tarikan.

Selain wajah bujur dan segi tiga, mereka yang memiliki wajah bulat harus bijak memilih potongan rambut bagi mengelak wajah lebih bulat. Biarkan rambut beralun cantik melebihi paras bahu manakala bahagian tepi dibiarkan menutupi bahagian rahang anda. Ini akan membuatkan wajah menjadi sedikit kecil berbanding biasa.

"Elakkan membuat potongan bulat atau gaya bob kerana ia menampakkan wajah lebih bulat. Pilih gaya sederhana kerana ia menampakkan penampilan lebih sempurna dan ringkas," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM