Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lebih 480 penunggang diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Jubli Emas Jalan Suka Menanti, di sini, malam tadi.

Operasi membabitkan 17 anggota serta seorang pegawai dan bermula kira-kira 4 petang hingga 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata 174 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pesalah trafik.

Katanya, 450 motosikal diperiksa dengan 38 daripadanya disita kerana penunggangnya tiada lesen memandu dan motosikal tiada perlindungan insurans dan cukai jalan.

"Operasi bertujuan mengesan mereka yang menunggang secara berbahaya dan berkumpulan.

“Keadaan itu menyebabkan pengunjung di Taman Jubli Emas tidak selesa selain membahayakan pengunjung dan pengguna jalan raya yang lain,"katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rozi berkata, tiga remaja dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 kerana merempit.

Katanya, remaja berusia antara 20 dan 21 tahun ini ditahan dalam operasi terbabit pada Januari lalu dan dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mahkmah Majistret (Mahkamah Khas Trafik) Alor Setar menjatuhkan hukuman itu masing-masing pada hari Rabu dan Khamis lalu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 11:58 AM