DUA lelaki yang ditahan polis kerana menunggang motosikal dengan secara berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Jubli Emas. FOTO Ihsan PDRM
DUA lelaki yang ditahan polis kerana menunggang motosikal dengan secara berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Jubli Emas. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN penunggang dan pembonceng menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat aksi mengangkat tayar di Jalan Gunung Keriang, di Alor Setar, mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi khas motosikal itu dijalankan bermula 4 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia 19 tahun itu ditahan apabila menunggang secara berbahaya hingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Motosikal itu kemudian disita dan mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sementara itu dalam operasi sama di Taman Jubli Emas pula sebanyak 42 saman dikeluarkan membabitkan 43 kesalahan dan empat motosikal disita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, ibu bapa diminta menitik beratkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat ini kerana perbuatan itu akan menjejaskan masa depan anak muda.

“Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain.

“Tindakan tegas dan proaktif oleh pihak polis akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 10:37 AM