REMAJA yang ditahan serta motosikal yang disita. FOTO ihsan Polis
REMAJA yang ditahan serta motosikal yang disita. FOTO ihsan Polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


DUA remaja ditahan polis kerana berlumba motosikal dan menunggang secara berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Alor Setar-Pokok Sena, semalam.

Dalam operasi bermula 4 petang hingga 8 malam itukedua-dua mereka asyik berlumba di jalan itu bersama seorang lagi penunggang motosikal dan sempat melakukan empat pusingan tanpa menyedari gerak-geri diperhatikan anggota polis trafik.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata,operasi itu dilakukan sepasukan lima anggota dan pegawai Trafik Kota Setar serta dibantu tujuh anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) susulan aduan orang ramai.

Beliau berkata, ketika pemantauan di lampu isyarat Sungai Mati, polis mengesan tiga penunggang motosikal berlumba antara satu sama lain serta menunggang secara berbahaya dengan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

"Pada 6.30 petang anggota trafik melihat tiga penunggang berlumba sesama sendiri dari lampu isyarat Sungai Mati hingga ke lampu isyarat Tanjung Musang sebanyak empat pusingan dan mengecam ketiga-tiga motosikal itu.

"Selepas empat pusingan ketika-tiga motosikal berhenti di lampu isyarat Tanjung Musang dan anggota trafik kemudian pergi memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan dua penunggang bersama motosikal masing-masing.

"Bagaimanapun, seorang penunggang berjaya melepaskan diri," katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Balai Trafik Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan melalui Aplikasi Pintar MCOPS mendapati motosikal Honda Dash ditunggang remaja berusia 14 tahun itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan disiasat mengikut Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kedua-dua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan di atas jalan dengan melulu dan berbahaya selain kedua-dua motosikal Demak dan Honda Dash disita," katanya.

Menurut Mohd Rozi lagi, menerusi operasi sama, 16 motosikal diperiksa dan 17 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan, insurans tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan melanggar isyarat lampu merah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 2:40 PM