KEADAAN ruang kecil yang santai menjadi tempat untuk berehat sambil minum kopi.
KEADAAN ruang kecil yang santai menjadi tempat untuk berehat sambil minum kopi.
Fuad Hadinata Yaacob

SEBAIK melangkah masuk ke dalam rumah, pelbagai pokok hiasan segar bagaikan menyambut kunjungan tetamu.

Lebih 10 pokok hiasan menghiasi segenap sudut, sekali gus menaikkan seri di sekitar ruang tamu.

Pokok hiasan pelbagai warna itu ditambah pula dengan rona kelabu pada keseluruhan dinding dan lampu limpah, mewujudkan suasana seperti di taman mini yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan.

Meskipun kediaman yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu hanya berkeluasan 850 kaki persegi, namun susun atur perabot dan aksesori yang tidak sarat menjadikan ruang dalamannya nampak luas.

Gabungan konsep moden dan minimalis boleh dilihat pada dekorasi pangsapuri milik Suhaili Abu Bakar, 46, ini.

Perabot atau aksesorinya tidak sarat bagi memastikan suasana tampil selesa.

Di ruang tamu hanya ada dua kerusi kayu jati yang memuatkan lima hingga enam orang serta meja kopi.

Cermin bersaiz besar digantung di dinding pada ruang tamu. Penggunaan cermin ini menjadikan ruang sempit nampak lebih luas dan ia juga boleh memancarkan pencahayaan yang lebih cerah.

RUANG tamu dihiasi dengan pelbagai bunga hiasan menceriakan suasana.
RUANG tamu dihiasi dengan pelbagai bunga hiasan menceriakan suasana.

Di sekitar ruang tamu juga dekorasi panel dinding wainscoting turut menjadi pilihan malah ia dihasilkan sendiri pemiliknya.

"Konsep rumah ini saya tidak mahu terlalu banyak barang supaya nampak lebih luas.

"Pemilihan cat, panel dinding dan gubahan bunga kami buat sendiri bagi menjimatkan kos," katanya.

Selain ruang tamu, terdapat juga ruang kecil yang menempatkan dua kerusi kayu dan sebuah meja kecil yang dijadikan tempat istirahat.

Walaupun ringkas namun kawasan itu boleh menjadi tempat untuk bersantai sambil minum kopi.

Turut menarik perhatian adalah panel yang menempatkan televisyen. Terdapat dua para atau rak gantung yang dihias dengan daun hiasan hijau.

RAK kasut yang dibina khas setinggi hampir tiga meter yang boleh memuatkan hampir 40 kasut.
RAK kasut yang dibina khas setinggi hampir tiga meter yang boleh memuatkan hampir 40 kasut.

Panel televisyen itu menggunakan laminate marble dan pencahayaan lebih menarik dengan penggunaan lampu limpah.

"Pemilihan marble effect untuk panel televisyen itu bagi mewujudkan elemen tenang dan sedap mata memandang.

"Di bahagian bawah pula terdapat console televisyen dengan di dalamnya ada pembesar suara, alat kawalan jauh serta sistem pendawaian.

"Di ruang dapur, rona hitam dan merah untuk set kabinet atas dan bawah menjadi pilihan," katanya yang mengakui susunan kabinet nampak lebih kemas kerana menutup keseluruhan ruang atas.

Bagi menjimatkan ruang, Suhaili meletakkan rak khas yang menempatkan pelbagai bahan masakan seperti garam, gula, kunyit, rempah ratus dan lain-lain di sebelah peti sejuk.

Di meja makan, ada sesuatu yang menarik kerana meja enam kerusi itu mempunyai sebuah chest freezer bersaiz dua pintu di dalamnya.

REKA letak almari pakaian, katil dan sebuah meja kecil menjadikan bilik tidur nampak kemas dan teratur.
REKA letak almari pakaian, katil dan sebuah meja kecil menjadikan bilik tidur nampak kemas dan teratur.

Meja makan yang menggunakan marble effect itu ditempah khas supaya dapat memuatkan chest freezer di dalamnya.

"Idea itu menarik dan kreatif kerana ia menjimatkan ruang. Apabila mahu mengambil barang di dalam

chest freezer angkat saja bahagian atas meja itu," katanya.

Menjengah ke bilik tidur, walaupun tidak besar namun kabinet almari pakaian setinggi 2.7 meter itu menjadikan bilik nampak kemas.

Pemilihan almari yang ditempah itu memudahkan pemiliknya menyimpan pelbagai barangan di dalamnya tanpa perlu meletakkan atau menggantungnya di mana-mana dalam bilik.

Almari sama turut ada di dua bilik lain, sekali gus menampakkan kekemasan di setiap bilik.

Kira-kira RM20,000 dibelanjakan untuk dekorasi dan kerja mengubah suai rumah itu dengan dekorasi minimum ia menjadikan kediaman itu tidak dipenuhi pelbagai barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 7:00 AM