SERLAHKAN gaya santai dari dalam rumah untuk menyaksikan landskap di luar.
SERLAHKAN gaya santai dari dalam rumah untuk menyaksikan landskap di luar.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Mencipta dekorasi tidak hanya memberikan kepuasan diri, malah gaya hiasan itu mempunyai tafsiran dan keindahan tersendiri.

Ini kerana ruang eksklusif penting untuk berkomunikasi dan berkongsi gaya hidup yang harmoni.

Hakikatnya, idea penataan ruang kini turut berkembang seiring dengan pemodenan dan gaya hidup generasi hari ini.

Setiap yang diketengahkan menampilkan gabungan idea menarik sama ada elemen tradisional, moden mahupun kontemporari.

Bagaimanapun, tatahias sempurna diilhamkan dengan latar belakang bersih dan mudah disesuaikan dengan perabot serta aksesori pilihan.

Ada yang menggemari perabot berasaskan kayu oak dengan kemasan lantai pilihan dan dilengkapi aksesori hingga menampilkan ruang privasi lebih eksklusif.

Penggayaan di ruang tamu umpamanya begitu bermakna apabila ia dibantu kemasan siling unik dengan persekitaran segar.

Penekanan kepada dekorasi atau suasana sempurna tidak memerlukan bajet besar, memadai dengan reka letak elemen hiasan sederhana asalkan kena dengan gayanya.

Ia juga secara tidak langsung mengurangkan bajet anda. Yang penting, gunakan kreativiti untuk mencuba sesuatu yang baru.

Hiasan seperti gubahan bunga sedia ada boleh tampil dengan wajah baru jika kedudukan kuntuman itu ditukar atau menyelitkan beberapa bunga baru.

Secara tidak langsung ruang yang dulunya suram atau kurang menarik boleh diubah suai menjadi titik fokal jika kena dengan gaya dekorasi pilihan.

Tidak dinafikan, kuasa gubahan bunga menarik mampu memukau pandangan dan mengilhamkan kelainan pada ruang.

Bagaimanapun, kehadiran gubahan bunga ringkas memadai untuk mencipta ruang eksklusif dan menenangkan jiwa.

Seterusnya beri tumpuan kepada langkah mengubah kedudukan perabot dan aksesori hiasan lain seperti koleksi cenderahati yang mampu mencipta panda­ngan baru di setiap ruang.

Jika dulu set meja makan tampil biasa, pastikan ia lebih menarik dan eksklusif dengan kemasan kerusi yang disarungkan fabrik sesuai.

Reka letak gubahan bu­nga yang dulunya jauh di sudut dan kurang tumpuan boleh dialihkan berhampiran set sofa hingga kelihatan bagaikan aksesori hiasan baru.

Langsir sedia ada pula jika masih elok, boleh kelihatan unik andainya diberi sentuhan baru seperti meletak aksesori sebagai penyeri atau menggantungkan langsir siang sebagai idea terbaru.

Menempatkan langsir yang dulunya di bilik sebagai penataan baru di ruang tamu mengubah persepsi biasa.

Pilihan fabrik langsir yang polos dalam rona semula jadi menerbitkan suasana ruang lebih redup dan mendamaikan.

Namun, langkah suai padan ini memerlukan penelitian supaya idea anda tidak berserabut atau kurang menepati konsep dekorasi.

Elak suai padan yang menyakitkan pandangan hingga mengundang rasa kurang selesa tetamu.

Uniknya, pesona ruang tamu juga boleh tampil de­ngan sendiri apabila kertas dinding dipilih sebagai latar hiasan dinding.

Pastikan pilihan warna dan motifnya sesuai dengan gaya dekorasi yang anda inginkan.

Peranan kertas dinding tidak hanya dilihat sebagai gaya eksklusif di ruang tamu kerana reka letak di bilik tidur utama juga penting.

Kemasan kertas dinding bermotif bunga-bungaan secara tidak langsung menyuntik mood lebih romantik.

Sementara itu, pilihan fabrik langsir rona biru firus berjaya memberi impak ruang lebih sejuk dan mendamaikan.

Di bilik anak perempuan pula, pilihan elemen flora antara dicadangkan untuk menyerlahkan ciri lebih feminin.

Pilihan warna lembut dan terang diselaraskan pada pemilihan langsir serta kertas dinding.

Sementara bilik tidur anak lelaki lebih unik dan eksklusif apabila motif geometri mendominasi ruang itu.

Menerusi pemilihan tema warna dan fabrik langsir yang sepadan, bilik ini kelihatan begitu praktikal dengan fungsi­nya sebagai ruang untuk tidur dan belajar.

Muncul antara tempat penting, ruang makan seharusnya ditatahias ring­kas tapi eksklusif. Ketengahkan kertas dinding pilihan dan dapatkan rona coklat lembut untuk diselarikan dengan perabot kemasan kayu gelap.

Tempatkan bidai sesuai pada tingkap di ruang dapur untuk pengawalan cahaya masuk dalam usaha mencipta ruang lebih privasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:02 AM