Kuala Lumpur: Peminat setia Harimau Malaya boleh menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF 2014 menentang Thailand hari ini di FOX Sports saluran CH 812 (bahasa Inggeris), CH 818 (bahasa Melayu) dan definisi tinggi (CH 832).

Rancangan ini bakal ditunjangi pengulas sukan Rashid Salleh yang akan bergandingan bersama pengurus Johor DT Bojan Hodak dan bekas pemain, Stanley Bernard termasuk pada final kedua di Stadium nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini mulai jam 7.30 malam.

Lebih menarik saluran FOX Sports 3 boleh ditonton secara percuma oleh semua pelanggan Astro, bagi memberi peluang buat rakyat Malaysia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan bola sepak negara.

Perlawanan akhir pertama Piala AFF 2014 antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, diikuti final kedua di SNBJ.

Sepanjang minggu ini juga, saluran FOX Sports akan memberi penghormatan kepada aksi cemerlang skuad Harimau Malaya dalam tempoh 70 jam dan semua pelanggan boleh menyemak jadual tayangan di tv.foxsportasia.com.

Menurut Ketua Wilayah Saluran FOX Antarabangsa Malaysia, Vineet Puri Piala AFF begitu penting buat rakyat Malaysia.

“Oleh kerana itu kami memberi keutamaan menyiarkan rancangan, produksi dan promosi sepanjang saingan ini.

“Kami berasa gembira Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir dan berharap ia menjadi final paling diingati buat semua penyokong Malaysia, tidak kira tua atau muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:45 AM