Jakarta: Hukuman mati terhadap lima banduan yang disabitkan kesalahan menyeludup dadah mungkin dilaksanakan minggu ini, kata pegawai kerajaan semalam.

Pejabat Peguam Negara Indonesia yang bertanggungjawab menjalankan hukuman itu belum mendedahkan identiti mereka.

Namun, jurucakapnya, Tony Spontana berkata, pesalah kini ditahan di beberapa penjara di seluruh Indonesia.

“Hampir pasti hanya satu lokasi digunakan untuk melaksanakan hukuman mati berkenaan, iaitu di Penjara Nusa Kambangan yang terletak tidak jauh dari Cilacap,” katanya.

Menurut Tony, hukuman itu dijalankan 10 anggota pasukan penembak Briged Mobil Polis Jawa Tengah.

“Hukuman itu dijalankan minggu ini dan kami akan melawat penjara itu untuk melihat persiapan dijalankan,” katanya.

Tidak dapat dipastikan bila kelima-lima banduan itu akan tiba di penjara berkenaan, namun undang-undang mewajibkan mereka dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman itu 72 jam lebih awal.

Rancangan pelaksanaan hukuman itu didedahkan bulan ini selepas Presiden Jokowi berkata, dia tidak akan memberi pengampunan kepada pesalah terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:12 AM