GAMBAR fail menunjukkan polis membuat persediaan menjelang hukuman mati terhadap lapan pesalah dadah pada April tahun lalu.
GAMBAR fail menunjukkan polis membuat persediaan menjelang hukuman mati terhadap lapan pesalah dadah pada April tahun lalu.
Agensi

Cilacap, Indonesia: Polis di bandar ini meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap beberapa pesalah dadah di beberapa penjara di pulau Nusakambangan di Jawa Tengah.

Ketua polis Cilacap, Ulung Sampurna Jaya berkata, kumpulan ketiga pesalah yang dihukum mati sepanjang pemerintahan Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, kata Ulung, dia masih belum menerima arahan rasmi untuk membuat persediaan hukuman mati berkenaan.

“Hukuman ini akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Kami kini membuat persediaan termasuk pasukan keselamatan dan anggota yang boleh dihantar pada bila-bila masa untuk melaksanakan hukuman,” katanya kepada Jakartapost kelmarin.

Menurutnya, beberapa lokasi di Nusakambangan dikawal ketat polis termasuk penjara Pasir Putih yang mempunyai kawalan keselamatan maksimum.

Beratus-ratus pesalah dadah dan pengganas termasuk yang menunggu hukuman mati ditempatkan di penjara Pasir Putih.

Terdahulu, Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo memberitahu wartawan di Jakarta bahawa hukuman mati kumpulan ketiga berkenaan tetap dilaksanakan.

Pesalah yang menunggu hukuman mati berkenaan terdiri daripada warga asing dan beberapa warga tempatan.

Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan skuad penembak tepat.

Ketua Badan Narkotik Nasional, Budi Waseso sebelum ini menggesa hukuman terhadap 151 pesalah yang dihukum mati mahkamah segera dilaksanakan.

Pada April tahun lalu, Indonesia mencetuskan bantahan antarabangsa apabila menghukum mati pesalah dadah termasuk dua warga Australia, Brazil dan Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:11 AM