KECEDERAAN domestik berlaku apabila kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
KECEDERAAN domestik berlaku apabila kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
AJAR anak mengenai cara selamat ketika bermain bagi mengelakkan kecederaan.
AJAR anak mengenai cara selamat ketika bermain bagi mengelakkan kecederaan.
BERI perhatian segera kepada kecederaan domestik dalam kalangan kanak-kanak.
BERI perhatian segera kepada kecederaan domestik dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Dalam jangka hayat atau kehidupan seorang kanak-kanak, ruang lingkup pergerakannya hanya di beberapa lokasi atau kawasan.

Taman permainan, kawasan rumah, bilik tidur, ruang makan dan tandas adalah antara tempat yang kerap dikunjungi si kecil yang biasanya jarang ditemani golongan dewasa.

Tampak perkara biasa namun kepentingan relatifnya bergantung kepada cara kehidupan kanak-kanak terbabit.

Sebagai contoh, ribuan malah jutaan kanak-kanak di seluruh dunia hidup di jalanan dan terdedah kepada pelbagai ancaman bahaya termasuk kecederaan yang tidak disengajakan serta risiko kepada alam sekitar seperti jangkitan penyakit.

Kebanyakan ancaman ini lebih buruk kesannya daripada dibelenggu kemiskinan berterusan, konflik, bencana alam dan ketidakadilan sosial.

Kanak-kanak di negara membangun paling tinggi dan terjejas oleh perkara ini namun tidak bermakna kanak-kanak di negara lebih maju terkecuali.

Di negara lebih maju, kecederaan domestik (DI) adalah punca utama morbiditi, hilang upaya sementara atau kekal dan kematian yang sering dipandang remeh.

Secara amnya, kanak-kanak terdedah dengan DI iaitu kecederaan yang berlaku di sekitar kawasan kediaman mereka.

Menurut Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Pediatrik Ortopedik Pusat Perubatan Tropicana, Dr Mohammad Nawar Ariffin, kemalangan domestik sebenarnya tidak boleh dielakkan tetapi boleh dikurangkan kesan kecederaannya.

"Ia perkara penting yang perlu difahami ibu bapa atau penjaga bahawa kemalangan domestik ini tidak boleh dielakkan dalam kalangan kanak-kanak normal.

"Kanak-kanak normal akan sentiasa bermain, berlari, melompat dan sebagainya, justeru ibu bapa sukar untuk menghalang anak mereka melakukan aktiviti fizikal seperti itu.

"Lagipun ia adalah sebahagian daripada perkara penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Jatuh, luka dan sebagainya adalah perkara biasa yang berlaku pada kanak-kanak normal, jadi ibu bapa tidak berupaya mengelakkannya.

"Bagaimanapun, kita boleh mencuba untuk kurangkan risikonya dan apabila ia berlaku, kita boleh berusaha mengurangkan komplikasi kecederaan itu," katanya.

Dalam hal ini, wujud tiga langkah penting yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa dan penjaga kanak-kanak.

Langkah primer ialah mengelakkan diri daripada cedera, contohnya sebelum terjatuh sebaiknya jauhkan anak daripada tempat tinggi.

Langkah sekunder pula ialah mengelakkan anak daripada berterusan jatuh di tempat sama.

Sementara langkah peringkat tertier lebih menjurus kepada aspek pendidikan dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa, penjaga dan petugas perubatan.

LANGKAH DEMI LANGKAH

Tambah Dr Nawar, langkah primer juga dibahagikan kepada beberapa bahagian antara kanak-kanak dan ibu bapanya.

"Pertamanya, tahap disiplin kanak-kanak itu. Tetapi biasanya tidak banyak yang boleh dilakukan pada kanak-kanak jadi ibu bapa perlu mengambil alih peranan dengan memberikan tumpuan penuh kepada anak terutama apabila mereka bermain.

"Kecederaan berlaku berpunca daripada ibu bapa dan golongan dewasa itu sendiri kerana tidak mengawasi kanak-kanak terbabit.

"Namun pengawasan itu jangan pula sehingga ke tahap keterlaluan, biarlah ia diawasi pada kadar sepatutnya supaya anak boleh berdikari.

"Berdasarkan pengalaman saya, kecederaan domestik ini sentiasa berlaku apabila ibu bapa mula leka dan tidak memberi perhatian kepada anak walaupun hanya seminit.

"Banyak kes berlaku apabila ibu bapa lebih leka bermain telefon bimbit dan melayari Internet berbanding melihat apa yang dilakukan si anak," katanya.

Selain itu, kebanyakan ibu bapa beranggapan sesetengah benda atau perkara yang tidak mencederakan mereka pasti tidak membahayakan si kecil.

"Di sini saya tekankan bahawa kanak-kanak ini bukanlah golongan dewasa kecil atau 'small adult'. Ramai yang menganggap mereka ini hanya bersaiz kecil tapi sudah mampu berfikir atau melakukan perkara seperti orang dewasa. Tidak! Mereka hanyalah kanak-kanak yang hidupnya cuma ingin bermain dan baru belajar mengenali dunia.

"Sistem tubuh badan mereka sama sekali berbeza dengan orang dewasa. Apabila cedera, mereka lebih segera sembuh dan pulih berbanding dewasa, justeru ada cara atau rawatan untuk kanak-kanak ini.

"Ibu bapa atau penjaga juga perlu membantu kanak-kanak ini berfikir. Terangkan kepada mereka apa yang boleh mendatangkan bahaya dan perkara yang mesti dielakkan.

"Sebaiknya terangkan dalam perkataan yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan bukannya secara lantang atau dalam keadaan marah.

"Contohnya seperti tebuan. Orang dewasa akan segera lari kerana bimbang disengat tetapi sesetengah kanak-kanak terus mencapai dan memegangnya kerana mereka ada sifat ingin tahu yang tinggi.

"Sebelum perkara ini berlaku, terangkan perlahan-lahan tetapi tegas mengenai perkara baik dan buruk yang ada di sekeliling mereka," katanya.

Sementara itu, langkah sekunder lebih menjurus kepada perkara yang perlu dilakukan selepas terjadi­nya satu-satu kemalangan itu.

"Bagi kecederaan domestik yang besar dan serius, terus bawa ke klinik dan dapatkan rawatan. Jangan cuba merawatnya di rumah.

"Jika kecederaan pada anggota tangan dan kaki yang jelas kelihatan, misalnya bengkok, luruskan semula anggota itu dalam keadaan biasa dan meletakkan sokongan yang baik untuk mengurangkan kesakitan serta kecederaan itu.

"Pastikan kotak pertolongan cemas perlu sentiasa dipantau kandungannya agar memudahkan proses mengurangkan kecederaan.

"Apabila berlakunya luka, jangan biarkannya mengalir. Segera hentikan pengaliran darah itu dengan mengenakan tekanan pada kawasan terbabit.

"Selain itu, angkat anggota yang luka lebih tinggi dari jantung untuk membantu mengelakkan pendarahan berterusan," jelasnya.

Untuk langkah tertier pula, menyertai kelas atau kempen kesedaran dan pendidikan mengenai perkara ini amat digalakkan.

Ditambah dengan kemudahan Internet, tiada alasan untuk ibu bapa dan penjaga culas dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit.

Cegah kemalangan di rumah

Kenapa kes kecemasan di rumah pada kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa? Ini disebabkan beberapa faktor iaitu:

-Saiz badan kanak-kanak yang kecil. Jika mereka jatuh, ada kemungkinan kesan hentakan akan terus terkena pada tulang.

-Struktur badan yang berbeza dan kecil berbanding orang dewasa. Pada pesakit asma contohnya, serangan asma akan membuatkan saluran pernafasan orang dewasa mengecil sebanyak 25 peratus, tetapi pada kanak-kanak, saluran ini hampir tertutup sepenuhnya yang membuatkan mereka tidak boleh bernafas.

-Sifat ingin tahu yang tinggi. Mereka ingin tahu mengenai badan sendiri dan persekitaran menyebabkan ada yang memasukkan jari ke dalam hidung, di celah pintu atau ke lubang soket di dinding. Sifat ini jugalah yang membuat mereka menyentuh kuali panas atau menarik wayar cerek air.

Ada banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan di rumah. Antara langkah mudah termasuk:

-Pasang pintu pagar pada tangga. Jika tangga tidak mempunyai susur tangan, peruntukkan sedikit wang untuk memasang susur tangan yang baik.

-Pasang jeriji pada tingkap terutama bagi mereka yang tinggal di pangsapuri tingkat satu dan ke atas. Malah rumah teres dua tingkat juga disarankan memasang jeriji.

-Elakkan sama sekali menggunakan kerusi duduk bayi beroda. Ia bukan saja memperlahankan proses berjalan, malah membuatkan bayi berjalan dengan cara yang salah serta berbahaya kerana mudah terbalik.

-Jika mahu menghampar permaidani, pastikan ia mempunyai lapisan penahan yang tidak mudah bergerak atau teralih.

-Jangan meletakkan bayi anda di tempat yang boleh membuatkan dia jatuh.

-Jangan letak kipas meja di lantai ketika ia dipasang. Gerakan bilah kipas menarik perhatian kanak-kanak untuk menyentuhnya.

-Beli penutup soket kerana bayi dan kanak-kanak kecil sangat 'tertarik' untuk memasukkan jari halus mereka ke dalam lubang yang kecil itu.

-Beli kerusi bayi untuk diletakkan dalam kenderaan.

-Pastikan semua peralatan elektrik dipadamkan suisnya selepas digunakan.

-Jangan biarkan wayar alat elektrik terjuntai sehingga boleh dicapai anak kecil.

-Ajar anak mengenai keselamatan di rumah dan terangkan kepada mereka mengapa setiap perkara itu penting.

-Bagi anak yang aktif bersukan, belikan kelengkapan bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:11 AM