Oleh Nor Faizah Mohamed

Gebu kulitnya, tembam pula pipinya. Sesiapa yang melihat pasti geram dengan susuk tubuh anak rakan penulis yang baru mencecah usia tiga tahun.

Dilahirkan dengan berat 2.87 kilogram, si kecil itu mula mengalami peningkatan berat badan mendadak selepas dihentikan pemberian susu ibu dan mula diberikan makanan pepejal.

Kini pada usia 39 bulan, berat badan si comel itu direkodkan mencapai 26 kilogram yang melebihi berat purata (antara 12 ke 18 kilogram) bagi kanak-kanak seusianya.

Menurut rakan penulis, berat anaknya itu bukan sesuatu yang perlu dirisaukan kerana tidak menganggap itu sebagai masalah berat badan, tambahan pula dia gembira melihat anaknya makan berselera tanpa perlu dipaksa.

Namun menurut pakar diet klinikal di Pusat Perubatan Tropicana Nurathirah Abd Mu’as, perubahan berat badan yang berlaku kepada kanak-kanak khususnya penambahan mendadak selepas usia dua tahun perlu diberi perhatian kerana dikhuatiri mengalami obesiti.

“Berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI) kanak-kanak itu, plot persentil diteliti menerusi graf yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut graf itu, persentil antara 85 ke 95 berisiko tinggi mengalami masalah peningkatan berat badan dalam kalangan kanak-kanak.

“Lazimnya, plot persentil ini dilakukan pada kanak-kanak berusia dua tahun ke atas berikutan proses pembesarannya tidak sepesat seperti ketika di usia bawah dua tahun.

“Justeru, ibu bapa tidak boleh pandang remeh perkara ini dan berikan alasan faktor pembesaran atau pertumbuhan anak kerana kelak ia hanya akan memudaratkan kesihatan si kecil,” katanya.

Jumlah kanak-kanak yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan ini makin meningkat setiap tahun dan di tahap membimbangkan. Lebihan berat badan pada tubuh si kecil boleh membuatkan mereka terdedah kepada risiko masalah kesihatan serius seperti diabetes, penyakit jantung dan asma.

“Memang comel dan geram melihat tubuh berisi anak tetapi ibu bapa perlu memikirkan keadaan kesihatan anak mereka pada masa depan.

“Keadaan obesiti dalam kalangan kanak-kanak ini juga bukan saja meningkatkan risiko mereka kepada penyakit fizikal tetapi mampu mempengaruhi kesihatan mental terutama apabila mula bersekolah.

“Kanak-kanak obes ini sering diejek dan diketepikan daripada melakukan aktiviti bersama rakan sebaya lalu menjejaskan keyakinan diri mereka hingga mengalami tekanan.

“Jadi mengenal pasti dan merawat masalah berat badan serta kegemukan dalam kalangan kanak-kanak ini di peringkat awal berupaya mengurangkan risiko ini, juga keadaan kesihatan lain apabila meningkatnya usia mereka,” tambahnya.

Ibu bapa punca utama

Jelas Nurathirah, memahami dan mengenal pasti bagaimana seorang kanak-kanak itu menjadi obes atau mengalami masalah berat badan berlebihan adalah langkah penting untuk membantu mengatasinya.

Ada sebahagian ibu bapa berasakan keadaan tubuh anak yang gempal disebabkan lemak yang terhasil ketika bayi (baby fat) dan ia akan berubah mengikut peningkatan usia.

“Obesiti yang berlaku ketika kecil tidak semestinya membuatkan kanak-kanak ini turut obes apabila dewasa tetapi risikonya tetap meningkat secara mendadak.

“Majoriti kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan ketika kecil, prasekolah atau sekolah rendah masih obes apabila mereka memasuki usia remaja dan kebanyakannya tidak berjaya mengatasi masalah ini apabila dewasa.

“Majoriti kes obesiti kanak-kanak disebabkan tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam atau jarang melakukan aktiviti di luar rumah.

“Kanak-kanak perlukan pengambilan zat makanan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan fizikal serta mental yang sihat. Tetapi jika terlalu banyak kalori yang diambil setiap hari berbanding melakukan aktiviti yang membakar kalori itu, hasilnya berlaku masalah kegemukan ini.

“Tetapi punca utama sebenarnya datang daripada tabiat gaya hidup ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Apabila ibu bapa mengabaikan kepenti­ngan makanan seimbang dan tidak menjalani gaya hidup yang sepatutnya, si anak secara automatik akan meniru apa yang dilakukan ibu bapa mereka.

“Faktor genetik juga tidak terkecuali, tetapi ia tidak boleh diletakkan sebagai punca asas kepada masalah obesiti kanak-kanak ini. Apabila seorang daripada ibu bapanya obes, kanak-kanak ini berisiko sehingga 50 peratus sementara 80 peratus apabila kedua-dua ibu bapa mengalami kegemukan,” katanya.

Selain itu, akses mudah dan aspek murah pada makanan segera juga disifatkan sebagai ejen obesiti ini berikutan ibu bapa yang tiada masa menyediakan hidangan berkhasiat di rumah.

Kepesatan teknologi dengan adanya permainan komputer, video, tablet dan telefon pintar memburukkan lagi keadaan kesihatan si anak kerana mereka mula enggan melakukan aktiviti fizikal di luar rumah.

Gerakan proaktif seluruh ahli keluarga

Amalan yang baik dan tabiat sihat bermula di rumah. Justeru, cara terbaik untuk mengatasi atau mengelakkan masalah obesiti kanak-kanak ini adalah dengan memulakan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan ahli keluarga.

Ibu berperanan penting memastikan pengambilan makanan seimbang oleh seluruh ahli keluarga dan sebaiknya jangan dibezakan hidangan antara anak kecil dengan yang lebih dewasa.

Tegas Nurathirah, apabila seluruh ahli keluarga terbabit, lebih mudah untuk kanak-kanak obes itu melakukan perubahan dalam jangka masa panjang.

“Langkah paling efektif apabila ibu bapa itu sendiri mengamalkan pemakanan sihat. Apabila anak melihat ibu bapa mereka makan sayuran, buah-buahan dan mengurangkan makanan bergoreng atau makanan ringan, secara tidak langsung anak akan turut sama melakukannya.

“Bagi si kecil yang baru belajar mengambil makanan pepejal pula, disyorkan ibu bapa memulakannya dengan sayuran dan bukan buah-buahan. Biasakan mereka dengan rasa dan tekstur sayuran itu kemudian baru diberi buah-buahan selepas si kecil mula menerima sayuran dalam setiap hidangan.

“Juga ajar anak makan mengikut masa yang ditetapkan dan amalkan pengambilan snek sihat seperti buah-buahan di antara tempoh masa makan itu.

“Selain itu, jadikan senaman atau bersukan sebagai aktiviti keluarga pada hujung minggu. Dengan cara ini, kanak-kanak terbabit bukan saja dapat melakukan aktiviti menyihatkan malah menghabiskan masa berkualiti bersama keluarganya.

“Hadkan penggunaan gajet, table, telefon pintar dan televisyen. Ajak anak lakukan aktiviti yang membabitkan skil motor mereka seperti melukis atau membuat origami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:01 PM