Hafiz Ithnin

DIAM tidak diam nampaknya kita sudah pun lima Ramadan.

Bagi mereka yang mempunyai si kecil di rumah, pastinya ada yang sudah mula berjinak-jinak untuk bersama-sama melaksanakan ibadah rukun Islam ketiga itu.

Malah, gelagat si kecil ketika melakukan ibadah berpuasa kadang-kala dikongsikan ibu bapa di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi rakan-rakan yang mempunyai anak seusia.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, dalam mengajak kanak-kanak untuk turut sama menyertai ibadah berpuasa, ibu bapa perlu memahami si kecil sudah bersedia atau sebaliknya.

Jelasnya, di peringkat kanak-kanak, si kecil tidak boleh dipaksa dalam melakukan sebarang perkara yang diinginkan ibu bapa kerana ia akan memberi tekanan.

"Dalam konsep ibadah terutamanya kita perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak dalam menunjukkan kemanisan ketika melakukan ibadah ini.

"Jadi, dari situ ibu bapa dapat melihat si kecil mula bersedia atau tidak untuk turut serta berpuasa. Jangan memaksa kerana ia bukan suatu tindakan yang baik untuk psikologi kanak-kanak," katanya.

IBU bapa perlu memberi penerangan kepada anak-anak mengenai ibadah puasa supaya mereka bersedia.
IBU bapa perlu memberi penerangan kepada anak-anak mengenai ibadah puasa supaya mereka bersedia.

Dr Putri berkata, seorang kanak-kanak akan meminta untuk melakukannya tanpa disuruh kerana mereka tahu kemampuan diri.

Jelasnya, si kecil biasanya boleh melakukannya (berpuasa) apabila mereka bersedia secara fizikal, mental dan emosi. Perkara ini akan dapat berlaku dengan baik jika sokongan persekitaran meyakinkan mereka untuk terus melakukannya.

"Untuk memberi motivasi kepada anak-anak yang masih kecil, ibu bapa perlu memberi kefahaman kepada mereka sebab atau kenapa melakukan perkara itu.

"Jadi, kita sebagai orang dewasa perlu memberi pencerahan yang mudah untuk difahami dan tidak merasakan ia suatu yang berat untuk dilakukan si kecil," katanya.

Katanya, memandangkan Islam itu mudah, ibu bapa seharusnya menceritakan kepada kanak-kanak mengenai kisah dan kewajipan untuk umat Islam melakukan ibadah itu dengan ikhlas demi mendapatkan ganjaran.

"Sebagai permulaan langkah ke dunia dewasa, anak-anak perlu diberikan ruang untuk membuat keputusan diri mereka sendiri.

"Dalam proses ini, anak-anak perlu jelas mengenai kebolehan mereka mengawal diri sendiri dalam berpuasa. Hanya memberi arahan kepada si kecil untuk berpuasa, adalah sangat tidak membantu proses memahami keperluan berpuasa," katanya.

Jelasnya, sebagai orang dewasa, ibu bapa dan penjaga, tunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak dengan menjelaskan kelebihan berpuasa.

MEMASAK  untuk juadah berbuka antara aktiviti yang boleh menarik perhatian anak untuk menjalani ibadah puasa.
MEMASAK untuk juadah berbuka antara aktiviti yang boleh menarik perhatian anak untuk menjalani ibadah puasa.

"Maksudnya di sini, ibu bapa atau penjaga perlu mempunyai ilmu yang baik untuk menceritakan kepada kanak-kanak kelebihan berpuasa seperti penjagaan akhlak dan juga dari sudut kesihatan.

"Jadi, selain dapat mendidik anak-anak kita sebagai orang dewasa juga dapat menggali ilmu untuk diri sendiri melalui pembacaan atau media lain," katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu berikan sokongan yang baik dengan menghormati kemampuan anak-anak dalam berpuasa.

"Jika tidak mampu, berbincang dan berikan ruang anak untuk merasai keputusan mereka sendiri. Ini sebenarnya bagus dalam membina 'self-esteem' diri sendiri," katanya.

Nasihatnya, dalam mendidik anak-anak untuk turut sama berpuasa, ibu bapa mungkin boleh melakukan beberapa langkah seperti memberikan latihan secara berperingkat untuk mereka melakukan ibadah itu.

"Mungkin pada awalnya, selepas mereka sendiri yang ingin berpuasa kita galakkan mereka berpuasa mengikut jam yang diinginkan dan jangan memaksa.

"Selain itu, ibu bapa boleh juga meletakkan sasaran kepada si kecil untuk meneruskan amalan berpuasa seperti hari pertama dua jam dan hari kedua, tambahan masa dan seterusnya," katanya.

MEWUJUDKAN suasana ceria dalam kalangan orang dewasa ketika berpuasa mampu memberi tanggapan positif kepada kanak-kanak.
MEWUJUDKAN suasana ceria dalam kalangan orang dewasa ketika berpuasa mampu memberi tanggapan positif kepada kanak-kanak.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu menjadikan amalan berpuasa kepada kanak-kanak sesuatu yang menyeronokkan dan bukan tekanan.

"Kita juga boleh lakukan aktiviti seperti menghias kediaman untuk berpuasa kerana ia akan memberi semangat kepada kanak-kanak untuk menikmati ibadah itu.

"Selain itu, kita juga boleh mengajak anak-anak untuk bersama-sama menyiapkan juadah untuk berbuka puasa dengan menyediakan hiadangan kegemaran mereka. Pastikan tidak memarahi mereka, kerana ia akan menjadikan kanak-kanak merasa tertekan ketika berpuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 7:01 AM