KANAK-kanak akan lebih ceria jika psikologinya diberi perhatian.
KANAK-kanak akan lebih ceria jika psikologinya diberi perhatian.
Hafiz Ithnin


Apabila menonton siaran televisyen membabitkan kisah keluarga barat, acap kali kelihatan si ibu meletakkan bayi mereka di bilik berasingan dan kadang-kala tidak menghiraukan tangisan atau rengekkan si kecil berseorangan di bilik berkenaan.

Perkara ini menjadi persoalan adakah ia satu praktis yang boleh dilaksanakan ibu bapa yang dilihat mungkin boleh melatih anak menjadi lebih berdikari sejak dari bayi lagi?

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Profesor Madya Dr Mastura Bazis berkata, perkara pertama yang perlu dirungkaikan adalah di negara-negara barat, kebanyakan ibu bapa sudah mengikuti pendidikan keibu bapaan ketika kehamilan.

Jelasnya, apabila si anak sudah dilahirkan mereka juga mempunyai alat pengesan yang boleh memantau keadaan anak yang ditinggalkan secara berasingan di dalam bilik lain.

"Dalam masa sama juga mereka mempunyai ilmu untuk mengetahui rengekan atau tangisan si anak sama ada rasa kurang selesa atau mahukan perhatian. Mereka akan terus melihat si kecil di dalam bilik sekiranya perkara itu berlaku.

"Ia bukan bermaksud si ibu atau ayah akan hanya membiarkan anak mereka di dalam bilik berkenaan kerana ia boleh memberi tekanan emosi kepada anak mereka yang masih lagi bayi," katanya.

Tambahnya, bayi adalah golongan yang perlu diberi perhatian yang lebih kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan hanya menerusi tangisan sahaja untuk memaklumkan situasi mereka.

JANGAN biarkan anak terus menangis kerana ia adalah cara si kecil untuk berkomunikasi.
JANGAN biarkan anak terus menangis kerana ia adalah cara si kecil untuk berkomunikasi.

"Bayi ini mempunyai emosi tetapi ibu bapa yang akan menterjemahkan erti emosi berkenaan menerusi bahasa yang digunakan. Jadi, lebih banyak mereka berkomunikasi dengan bayi, lebih banyak terjemahan dapat disampaikan kepada si kecil mengenai emosi mereka," katanya.

Dr Mastura berkata, sekiranya bayi atau kanak-kanak menangis, ibu bapa atau penjaga perlu memberi perhatian kepada si kecil mereka kerana ia amat penting dari segi membina psikologi.

"Jika dibiarkan bayi atau kanak-kanak itu terus menangis dan tanpa dipujuk, mereka akan merasa putus asa dan tidak dihargai. Sekiranya perkara ini berlaku, ia memberi kesan yang buruk kepada psikologi kanak-kanak itu sehingga dewasa.

"Tangisan atau jeritan adalah satu-satunya cara bayi meluahkan perasaan atau menyatakan keperluannya kerana dia belum boleh bercakap. Justeru bayi yang tidak diendahkan rengekan dan tangisannya akan hilang rasa percaya kepada diri. Akibatnya,dia juga sukar untuk mempercayai orang di persekitarannya," katanya.

LEBIH banyak bercakap dengan bayi mampu merangsang psikologi mereka.
LEBIH banyak bercakap dengan bayi mampu merangsang psikologi mereka.

Katanya, justeru, ibu bapa atau penjaga seharusnya memberikan tumpuan kepada kanak-kanak sejak mereka bayi lagi kerana mereka akan dapat membina psikologi yang lebih kuat apabila berdepan dengan cabaran ketika dewasa kelak.

"Lebih banyak ibu bapa atau penjaga berkomunikasi dengan si kecil sebenarnya lebih banyak memberi manfaat untuk membina kepercayaan mereka kepada orang di sekeliling.

"Apabila mereka sudah dewasa, pengalaman dari usia kanak-kanak itu akan dibawa dan dipraktiskan. Justeru, kanak-kanak yang banyak diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga, mereka lebih mudah bersosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 6:30 AM