WANITA Muslim meletakkan bunga di depan kafe berkenaan.Gambar kecil Man.
WANITA Muslim meletakkan bunga di depan kafe berkenaan.Gambar kecil Man.
AP

Sydney

Ratusan jambangan bunga semalam diletakkan di depan kafe tempat dua tebusan seorang lelaki fanatik Islam warga Iran terbunuh kelmarin.

Polis mengepung kafe berkenaan selama 16 jam sebelum ia berakhir dengan tembak-menembak yang turut menyebabkan suspek Man Haron Monis, 50, mati.

Dalam satu sidang media, Perdana Menteri Tony Abbott berkata, kejadian itu adalah kali pertama Australia berdepan dengan keganasan sejak lebih 35 tahun.

Beliau turut mempertikaikan bagaimana pihak berkuasa boleh terlepas pandang terhadap Man yang mempunyai pelbagai rekod jenayah.

“Kita perlu melihat isu ini secara tenang dan teliti. Itu yang akan dilakukan untuk beberapa minggu akan datang,” katanya.

Walaupun kejadian itu meningkatkan kebimbangan berlaku keganasan lain, ada kesan positif di sebalik kejadian itu apabila warga Australia rata-rata menyatakan sokongan terhadap rakan Muslim mereka.

Malah ramai yang menawarkan di Twitter untuk menemani orang Islam yang berhijab jika mereka bimbang menjadi sasaran serangan balas melalui hashtag #IllRideWithYou yang dikongsikan lebih 90,000 kali sehingga pagi semalam.

Dalam pada itu, timbunan bunga menutupi kaki lima di Martin Place, tempat Man memasuki Lindt Chocolat Cafe pada pagi Isnin sebelum menjadikan 17 orang pekerja dan pelanggan tebusan.

Mangsa turut dipaksa mempamerkan bendera yang tertulis kalimah syahadah di tingkap kafe berkenaan.

Pelbagai kumpulan Muslim Australia menyelar kejadian itu dalam kenyataan bersama selain menegaskan kalimah syahadah pada bendera itu disalahgunakan individu songsang.

Man pernah dihukum melakukan khidmat masyarakat selama 300 jam kerana menghantar surat yang mengecam anggota keluarga askar Australia yang terbunuh di Afghanistan antara 2007 dan 2009.

Dia juga pernah didakwa bersubahat membunuh bekas isterinya. Awal tahun ini dia didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita pada 2002. Sehingga kejadian semalam, dia dibebaskan dengan jaminan.

Pihak berkuasa sehingga ini belum dapat mengesahkan sama ada dua mangsa yang maut - ibu beranak tiga yang juga peguam Katrina Dawson, 38, dan pengurus kafe Tori Johnson, 34 - terbunuh ketika polis berbalas tembakan dengan Man atau ditembak suspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:10 AM