RACHAEL Jacobs, mencetus semangat perpaduan menerusi Facebook miliknya.
RACHAEL Jacobs, mencetus semangat perpaduan menerusi Facebook miliknya.

Sydney (Australia): Pengguna media sosial di Australia menghantar mesej akan bersama-sama masyarakat yang beragama Islam selepas berlakunya peristiwa hitam di sebuah kafe yang diserang semalam, serta menawarkan iringan kepada sesiapa yang takut keluar ke tempat awam.

Menerusi hashtag #IllRideWithYou (saya akan temankan kamu) di Twitter, lebih 90,000 pengguna di laman itu tawarkan khidmat iringi sesiapa saja yang hendak keluar ke tempat awam terutama yang beragama Islam.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu menggunakan cara ini sebagai langkah bagi meredakan kebimbangan serangan berbentuk Islamophobic atau anti-Islam di negara itu.

Ketika tebusan ditahan di dalam Kafe Lindt Chocolat oleh lelaki bersenjata serta menggelarkan dirinya sebagai jihadis, timbul spekulasi bahawa kejadian itu boleh mencetuskan keganasan terhadap umat Islam yang lain.

Penduduk Sydney, Rachel Jacobs berkata, dia melihat seorang wanita di dalam tren membuka hijab yang dipakainya susulan kejadian di kafe itu dan menawarkan diri untuk menemaninya.

“Wanita itu serta-merta menangis dan memeluk saya kira-kira 1 minit sebagai tanda terima kasih selepas saya menyuruhnya memakai hijabnya semula,” kata Rachel di status Facebook yang dimuat naiknya.

Kempen itu berterusan sehingga kini dan tawaran ini diberikan kepada mereka yang rasa tidak selamat serta yang mengenakan hijab atau berpakaian Islamik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 10:44 PM