SEORANG lagi pekerja kafe, Elly Chen, menyelamatkan diri dari premis yang diserang lelaki tidak dikenali.
SEORANG lagi pekerja kafe, Elly Chen, menyelamatkan diri dari premis yang diserang lelaki tidak dikenali.
PEKERJA lelaki memakai apron berlari lintang-pukang melalui pintu kecemasan dan berlindung di belakang polis. Gambar kecil Sheikh Haron.
PEKERJA lelaki memakai apron berlari lintang-pukang melalui pintu kecemasan dan berlindung di belakang polis. Gambar kecil Sheikh Haron.

Sydney: Polis malam tadi menyerbu sebuah kafe di sini, tempat seorang lelaki bersenjata menahan tebusan dan mempamerkan ‘bendera Islam.’

Wartawan AFP di tempat kejadian melaporkan, beberapa letupan kuat dan jeritan kedengaran apabila polis melancarkan serbuan.

Beberapa tebusan dilihat melarikan diri dari bangunan itu sementara pasukan perubatan turut meluru masuk untuk membantu.

Polis sejak awal semalam mengepung pusat bandar terbesar Australia ini selepas seorang lelaki bersenjata memasuki kafe berkenaan, menahan tebusan dan memaksa mereka mengibarkan bendera Islam.

Kata polis, mereka tahu seorang penyerang bersenjata terbabit dalam insiden di kafe coklat Lindt di tengah daerah kewangan bandar raya Sydney itu, tetapi tidak menolak kemungkinan wujud rakan subahat.

Pasukan keselamatan - termasuk anggota separa tentera - mengepung beberapa blok bangunan sekitar kafe berkenaan ketika perunding cuba mengendurkan ketakutan paling besar dialami Australia sejak beberapa dekad lalu.

Penembak tepat dan anggota unit khas SWAT pula diletakkan di kedudukan strategik di sekitar kafe ketika helikopter polis berlegar-legar di udara.

Sekurang-kurangnya lima tebusan dibebaskan atau melarikan diri sejak drama itu bermula menjelang tengah hari.

Pekerja kafe yang panik serta pelanggan pula dilihat berlari ke arah polis separa tentera.

Wartawan Channel Seven, Chris Reason melaporkan, 15 tebusan dilihat berada di dalam kafe.

Dia yang menyaksikan kejadian itu dari pejabatnya yang terletak berdepan dengan Lindt berkata, seorang lelaki bersenjata menggilirkan tebusan supaya berdiri menghadap tingkap.

“Kadang-kadang mereka digilirkan setiap dua jam sekali,” katanya melalui Twitter.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott yang pernah memberi amaran mengenai rancangan militan menyerang sasaran Australia berkata, ada petanda kejadian itu didorong oleh motif politik.

“Insiden ini sangat serius.

“Saya faham kebimbangan rakyat Australia,” katanya kepada media Canberra.

Australia - negara penyokong kuat Amerika Syarikat dalam kempen terhadap militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq - berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga terhadap risiko serangan pengganas yang pulang dari Timur Tengah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 12:57 PM