GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menutup 30 sekolah sekitar Silam dan Silabukan di Lahad Datu, mulai hari ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Pengarahnya, Dr Mistrine Radin dalam satu kenyataan semalam berkata, 30 sekolah di Silam dan Silabukan akan ditutup sementara waktu sehingga pemberitahuan yang akan dimaklumkan kelak.

"Langkah ini adalah sebagai usaha untuk membantu Jawatan Kuasa Bencana Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga atas nasihat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Walau bagaimanapun, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di kelas masih dilaksanakan kepada pelajar tingkatan lima dan enam di sekolah menengah terlibat," katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menjelaskan pembelajaran bagi kelas prasekolah sehingga tingkatan empat akan dilaksanakan secara dalam dan luar talian sepanjang tempoh penutupan sekolah di samping menggalakkan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL).

Sementara itu, Mistrine turut memperincikan beberapa sekolah yang masih ditutup untuk tujuan nyahkuman.

Antaranya adalah SK Ladang Tiger di Tawau, SMK Kunak, SK Kunak Jaya dan SK Kunak 2 di Kunak serta penutupan beberapa kelas di SK Silabukan.

Manakala di Lahad Datu membabitkan sembilan sekolah iaitu SMK Agaseh, SMK Silabukan, SK St Dominic, SK St Stephens, SK Bikang, SK Permai, SK Pekan, SK Binuang dan SMK Tungku.

Semalam, Sabah merekodkan 60 kes Covid-19 baharu melibatkan kluster baru, Kluster Bangau-Bangau di Semporna.

Selain itu, peningkatan kes Covid-19 turut direkodkan melibatkan beberapa kluster di pantai timur Sabah iaitu kluster Benteng LD sebanyak 624 kes, kluster Pulau sebanyak 35 kes dan kluster Selamat sebanyak 25 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 12:12 PM