AKSI peserta sebaik keluar dari ladang sawit.
AKSI peserta sebaik keluar dari ladang sawit.
SALAH seorang marshall memantau keadaan peserta.
SALAH seorang marshall memantau keadaan peserta.
BEBERAPA peserta menolong seorang pelumba yang mengalami kerosakan basikal.
BEBERAPA peserta menolong seorang pelumba yang mengalami kerosakan basikal.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Lebih halangan dan lebih lasak. Itu antara elemen diserapkan dalam penganjuran kali ketiga TGU Mini Jamboree 2015 yang diadakan di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Perlumbaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Garing Utama, Rawang dengan kerjasama Kelab Basikal TGU Bikers itu menyaksikan peserta bersaing dalam kejohanan berkonsep jelajah yang memerlukan mereka merentas kawasan ladang sawit selain mengerah kudrat mendaki dua bukit sejauh 35 kilometer.

Dilepaskan pada jam 8.30 pagi, perlumbaan disertai 1,250 peserta dalam lima kategori iaitu Junior Lelaki (17 tahun ke bawah), Terbuka Lelaki (18 hingga 39 tahun), Senior Lelaki (40 hingga 49 tahun), Veteran Lelaki (50 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita (13 tahun ke atas).

Elemen cabaran yang dipertingkatkan lagi ini nyata terserlah apabila sebaik kayuhan memasuki jarak lima kilometer pertama, mereka ‘dihidangkan’ dengan trek tanah merah tidak rata dan berbatu sebelum memasuki kawasan ladang sawit.

Cabaran di kawasan ladang sawit memang mencabar kerana di laluan inilah mereka perlu menempuh dua bukit yang tidak rata dan berbahaya.

Bukan sekadar perlu mengerah tenaga ‘melawan’ semangat yang semakin pudar dan tenaga yang semakin hilang, laluan dua bukit ini menjadi medan bagi mereka mempamerkan skil kayuhan dan kawalan basikal.

Ini kerana pendakian dua bukit ini membuatkan hampir 70 peratus tenaga dan stamina digunakan, tidak termasuk halangan ketika menuruni bukit yang berselekoh, tidak rata dan berbahaya.

Bagaimanapun, semangat peserta dikagumi kerana berjaya menamatkan kayuhan biarpun majoriti daripada mereka mengakui cabaran sepanjang trek berkenaan meletihkan.

Dalam kejohanan itu, peserta individu Mohd Aidil memenangi kategori Junior Lelaki dengan catatan masa 1 jam 15 minit. Kategori Terbuka Lelaki pula dimenangi Riduan Zainal yang mencatat masa 1 jam 8 minit.

Kategori Senior Lelaki pula dimenangi Mohd Razli dengan catatan 1 jam 14 minit.

Dua peserta berkumpulan iaitu Gary Chong dan Yow Yen Lee dari FRC Club mengungguli kategori Veteran Lelaki dan Terbuka Wanita dengan catatan masa 1 jam 18 minit dan 1 jam 44 minit.

Pengerusi TGU Mini Jamboree 2015, Mohd Fadzeli Mohd Azizi berkata, penganjuran kali ketiga TGU Mini Jamboree memang dibuat lebih mencabar berbanding kejohanan sebelumnya bagi memberikan kelainan dan dalam masa sama supaya peserta berpuas hati dapat berkayuh.

“Kami sengaja sediakan trek yang memerlukan peserta merentas dua laluan berbukit kerana di kawasan itulah terletaknya kepuasan kayuhan lasak ini.

“Satu bukit itu kami namakan bukit Dongibab Kipidap kerana untuk mendaki saja memerlukan peserta mengerah 70 peratus tenaga a untuk sampai ke atas.

“Di atas bukit itu juga kami sediakan satu sudut untuk bergambar selepas berjaya menawan puncak sebagai kenangan kepada mereka yang mendaki,” katanya.

Menurut Mohd Fadzeli, selain hadiah kemenangan turut diadakan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motor scrambler 80cc. Hadiah lain basikal dan barangan kelengkapan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:01 AM