Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiga minggu selepas tamatnya temasya Olimpik Rio, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei (gambar kanan) kembali bersemangat untuk memburu kejuaraan dengan Kejohanan Dunia di Glasgow menjadi sasarannya selepas ini.

Pemain nombor satu dunia itu juga turut memaklumkan akan terus memperkuatkan barisan negara dalam usaha merampas Piala Thomas buat kali terakhir pada 2018 sebelum memikirkan untuk beraksi hingga Olimpik Tokyo 2020.

“Perancangan saya selepas ini adalah Kejohanan Dunia dulu dan selepas itu tengok keupayaan badan saya macam mana.

“Jika keadaan saya baik mungkin saya akan terus bermain dan saya juga akan berbincang dengan Pemangku Presiden BAM (Tan Sri Mohammed Al Amin Abdul Majid) sama ada mereka mahu saya terus bermain atau tidak,” katanya.

Sementara itu Chong Wei juga tidak menolak untuk terus beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020 terutama ketika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini mencadangkan sistem pemarkahan baru 11 mata yang dianggap memberi kelebihan kepada pemain berpengalaman sepertinya dan juga musuh tradisinya dari China Lin Dan.

“Masih belum ada kepastian mengenai 11 mata itu. Tapi jika jadi 11 mata itu bagus untuk saya dan Lin Dan. Perlawanan akan menjadi pendek dan bagus untuk pemain senior seperti saya mengawal permainan.

“Tapi jika kekal 21 mata, saya tengok dulu macam mana,” katanya yang memberi maklum balas berhubung pembabitannya di Olimpik Tokyo 2020.

BWF baru-baru ini menggalakkan ahli gabungannya menjalankan ujian percubaan untuk menggunakan sistem pemarkahan baharu 11 mata dalam lima set, menggantikan sistem sedia ada 21 mata dalam tiga set, yang diperkenalkan 10 tahun lalu.

Di bawah sistem itu, BWF memberi dua pilihan sekiranya kedua-dua pemain mencapai 10 mata, iaitu menetapkan kelebihan dua mata atau maksimum 15 mata untuk menentukan pemenang.

BAM sebelum ini turut menguji sistem itu pada Kejohanan Badminton Remaja Antarabangsa Bawah 19 Tahun di Terengganu, minggu lalu.

Keputusan sama ada sistem itu digunakan atau sebaliknya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijangka dibuat pada mesyuarat BWF, Mei tahun depan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran 100 PLUS, Leong Wai Yin mengumumkan bekalan minuman isotonik itu secara percuma seumur hidup dan insentif RM150,000 kepada lima pemain badminton negara yang menyumbangkan pingat perak di Olimpik Rio.

Mereka, yang juga duta minuman isotonik itu ialah Chong Wei yang menerima RM50,000, manakala pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menerima RM25,000 setiap seorang.

100 PLUS, anak syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd melantik Chong Wei sebagai duta produk itu sejak 2011, baru-baru ini mengumumkan komitmennya menaja Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:10 AM