Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Dua beradik dengan seorang daripadanya hamil dua bulan masing-masing menetap di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur disahkan jangkitan Zika pada Ahad dan semalam.

Perkembangan terbaru itu menjadikan keseluruhan enam kes di seluruh negara sehingga kini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pesakit pertama membabitkan wanita hamil berusia 35 tahun dan pada 6 September lalu, dia datang ke klinik swasta kerana demam berpanjangan, selsema dan sakit tekak.

Katanya, keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan positif virus itu.

"Susulan itu, pesakit dimasukkan ke hospital di Miri pada Ahad lalu untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

"Pesakit pernah bekerja di Singapura sebelum ini dan kali terakhir melawat negara itu antara 24 hingga 29 Julai lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua enam ahli keluarga yang mendiami serumah dengan pesakit didapati tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda jangkitan Zika.

Dr Subramaniam berkata, pesakit seterusnya adalah kakak kepada wanita hamil terbabit berusia 39 tahun, menetap di Kuala Lumpur dan dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu.

"Pada 6 September lalu, pesakit mula menunjukkan gejala ruam malah, dia mempunyai sejarah mengunjungi adiknya di Miri, pada 26 Ogos dan pulang ke Kuala Lumpur, 6 September lalu.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan vektor sudah dilaksanakan di kawasan kediaman pesakit termasuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes, ubat jentik-jentik, pengkabutan dan pendidikan kesihatan kepada jiran di kawasan perumahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 11:12 PM