AFP

New York: Novak Djokovic melangkah ke final Terbuka AS buat kali ketujuh tetapi kali ini, dia terpaksa mengatasi segala taktik kotor yang diamalkan pilihan ke-10, Gael Monfils (gambar) sebelum menempah tiket untuk bertemu Stan Wawrinka.

Djokovic yang juga juara bertahan dan pemain nombor satu dunia itu menang 6-3, 6-2, 3-6, 6-2 di separuh akhir yang menyaksikan Monfils diejek penonton serta dikatakan tidak bersungguh-sungguh untuk menang.

Djokovic mengaku dia berang apabila Monfils yang ketika itu ketinggalan 0-5 di set pertama, langsung tidak melawan dan enggan mengejar bola.

Bagaimanapun, taktik yang diamalkan Monfils itu mula berjaya apabila dia menang tiga perlawanan berturut-turut.

“Apabila saya cuba bermain di jaring, dia tidak mahu mengambil bola selain cuba melakukan pukulan yang bukan-bukan. Tetapi itulah Gael,” kata Djokovic.

Djokovic menguasai keseluruhan permainan tetapi ia bukan mudah untuk dicapai apatah lagi Monfils menggunakan pelbagai taktik termasuk cuba mengganggu minda lawan.

Monfils yang bermain di separuh akhir grand slam keduanya selepas melangkah ke peringkat sama di Terbuka Perancis 2008, kerap diejek penonton yang meluat dengan gaya permainannya itu.

Dia sekali lagi diejek oleh kira-kira 20,000 penonton sebaik tewas perlawanan pertama di set ketiga.

Monfils berkata, taktik yang diamalkannya itu adalah untuk menguji kekuatan mental lawan.

Pendekatan yang diamalkan Monfils itu membolehkan dia bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 dan 4-2 di set ketiga hingga memaksa Djokovic menerima rawatan bahu kirinya.

Walaupun Djokovic berjaya menyelamatkan satu mata penamat dan membuka ruang untuknya di perlawanan kesembilan, Monfils tetap mampu mengheret perlawanan hingga membuatkan lawannya berang dan mengoyakkan baju.

“Saya tidak sepatutnya membiarkan dia bangkit menyamakan kedudukan selepas ketinggalan,” kata Djokovic.

“Dia seolah-olah mula percaya dengan dirinya. Saya rasa penonton tidak suka dengan usahanya di hujung set kedua. Bagaimanapun, dia berjaya bangkit.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:16 AM