Indian Wells (California): Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic menewaskan bintang dari Switzerland Roger Federer untuk merangkul gelaran berganda di Indian Wells dan meraikan kemenangan yang ke-50 dalam siri Jelajah ATP.

Pemain Serbia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 6-3 6-7(5) 6-2 pada perlawanan akhir Terbuka BNP Paribas bagaimanapun terpaksa menyerah kalah pada set kedua selepas melakukan tiga double-fault, namun bangkit kembali pada set seterusnya untuk menjulang trofi keempat di Indian Wells selepas cemerlang pada 2008, 2011 dan 2014.

Djokovic menyertai Federer sebagai satu-satunya pemain yang memenangi kejohanan itu sebanyak empat kali.

Memulakan musim ini dengan kejayaan merangkul gelaran kelima Terbuka Australia, Djokovic menewaskan Andy Murray di separuh akhir, pemain yang dikalahkannya di Melbourne Park dan mempamerkan corak permainan yang sama ketika berdepan Federer di set pertama.

Pemain Serbia itu menguasai permainan kelima dengan corak agresif menekan lawan untuk terus melakukan kesilapan.

Dia hanya kehilangan empat mata dan selepas menang set pertama, sukar untuk melihat pemain dari Switzerland berusia 33 bangkit memberi tentangan.

Federer terus mengejar namun ketinggalan 4-3 sebelum menewaskan Djokovic di set kedua dan menceriakan kembali penonton yang hadir.

Djokovic mendahului 5-4 di tiebreak namun melakukan dua double-fault membolehkan Federer membawa perlawanan ke set ketiga.

Pemain nombor satu dunia itu berjaya mencuri mata pada awal aksi tie-break dan dilihat kembali menguasai perlawanan di kedudukan 2-0 sebelum Federer kembali menguasai dengan mematahkan servis.

Double-fault yang dilakukan pemain Swiss itu membolehkan Djokovic merampas semula servis dan terus menguasai sehingga berjaya merangkul kemenangan.

“Secara keseluruhan ia satu perlawanan yang hebat bagi pihak saya, satu permainan yang sempurna, intensiti dan komitmen yang hebat setiap kali memukul bola,” kata Djokovic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:26 AM