SETIAUSAHA Agung UEFA Gianni Infantino (kiri) pada majlis undian.
SETIAUSAHA Agung UEFA Gianni Infantino (kiri) pada majlis undian.

Nyon, Switzerland: Chelsea kendalian Jose Mourinho diundi bertemu Paris Saint-Germain manakala Manchester City berdepan Barcelona dalam dua perlawanan tumpuan pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Kemaraan Chelsea ke peringkat kalah mati tanpa kalah menyaksikan mereka diuji menentang kelab Perancis yang ditundukkan menerusi gol di tempat lawan pada suku akhir musim lalu.

Setiausaha Chelsea David Barnard berkata: “Kami mengenali PSG kerana sudah bertemu mereka pada suku akhir tahun lalu dan mereka juga memiliki David Luiz yang beraksi untuk mereka.

“Ia juga undian baik secara logistik bagi penyokong kami. Kedua-dua pasukan mempunyai skuad berbeza berbanding tahun lalu dan tidak kira PSG atau pasukan lain, ia situasi sama.”

Seperti PSG, juara Inggeris City akan tampil untuk membalas dendam selepas dibelasah 4-1 secara agregat oleh Barca pada peringkat sama kempen Liga Juara-Juara tahun lalu.

Pengarah bola sepak City, bekas pemain Barcelona, Txiki Begiristain berkata: “Kami penuh yakin dengan cara kami layak menundukkan Bayern Munich di laman sendiri dan Roma di gelanggang lawan, pemain akan bekerja keras untuk cergas dan hadir dengan yakin bagi perlawanan itu.

“Skuad kami lebih mantap berbanding musim lalu dan kami mempunyai kualiti di bahagian serangan.”

Undian pusingan kedua dilangsungkan di ibu pejabat UEFA di Nyon dan menyaksikan juara bertahan Real Madrid diundi bertemu kelab Jerman, Schalke 04 di bawah kendalian Roberto Di Matteo, yang mengemudi Chelsea ketika mereka ditabal juara Eropah.

Arsenal, naib juara 2006, berdepan AS Monaco, bekas kelab jurulatih mereka Arsene Wenger, juara Itali, Juventus perlu melayan Borussia Dortmund dan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich, yang menundukkan Borussia pada final 2013, menentang Shakhtar Donetsk. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:21 AM