PASUKAN Liverpool diundi menentang Bayern Munich. FOTO AFP
PASUKAN Liverpool diundi menentang Bayern Munich. FOTO AFP
AFP

NYON, Switzerland: Finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Liverpool diundi bertemu juara Jerman, Bayern Munich di peringkat 16 pasukan terakhir ketika Manchester United dijadual menentang gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.

Pada sesi undian yang dijalankan hari ini, penyandang juara, Real Madrid dijadual bertemu kelab Belanda, Ajax manakala juara Inggeris, Manchester City yang memburu gelaran Eropah sulung akan bertemu kelab Jerman, Schalke 04.

Gergasi Sepanyol, Barcelona diundi melawan kelab Perancis, Lyon manakala satu lagi kelab Inggeris, Tottenham akan bertemu pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Juara Itali, Juventus yang memperoleh khidmat penyerang Cristiano Ronaldo bagi meningkatkan peluang menjulang trofi akan bertemu satu lagi kelab Sepanyol, Atletico Madrid.

Satu lagi kelab Itali, AS Roma yang mara ke peringkat separuh akhir musim lalu akan bertemu wakil tunggal Portugal, Porto.

Pasukan yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua akan menjadi tuan rumah bagi aksi pertama pada 12/13 dan 19/20 Februari tahun depan manakala aksi timbal balik pada 5/6 dan 12/13 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:59 PM