AFP

Nyon, Switzerland: Penyandang juara Real Madrid diundi berdepan Bayern Munich sekali gus menjanjikan pertemuan semula dengan ‘guru’ Carlo Ancelotti selepas impian Zinedine Zidane untuk mengelak daripada bertemu Leicester City termakbul, selepas undian suku akhir Liga Juara-Juara kelmarin.

Leicester akan bertemu Atletico Madrid dalam pertemuan yang dianggap sebagai ‘cabaran besar’ oleh pengurus Leicester Craig Shakespeare selain pertembungan antara juara Itali dan Sepanyol, membabitkan Juventus dengan Barcelona.

Slot terakhir pertandingan kelab perdana Eropah itu menemukan pemusnah Manchester City - Monaco - menentang Borussia Dortmund.

Zidane yang pernah menjadi penolong Ancelotti ketika Madrid memenangi takhta Eropah ke-10 pada 2014, berkata: “Pertemuan itu ibarat guru bertemu murid. Saya banyak belajar daripadanya. Beliau seorang yang hebat dan kami semua tahu apa yang dilakukannya.”

Ancelotti yang kini menjadi pengurus Bayern turut menanti-nantikan pertemuan itu serta teruja untuk kembali ke Bernabue.

“Menarik untuk bertemu mereka. Kami sangat yakin akan menang dan mahu menjuarai trofi Liga Juara-Juara musim ini,” kata pengurus berbangsa Itali itu yang turut menjulang takhta Eropah berkenaan dua kali bersama AC Milan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Karl-Heinz Rummenigge menjangkakan ‘pertemuan klasik’ antara kedua-dua kuasa besar bola sepak apabila mereka bertemu dua kali bulan depan.

“Semua peminat bola sepak tertunggu-tunggu perlawanan itu,” kata bekas penyerang prolifik Jerman itu.

Tetapi bukan semua orang berasa teruja.

“Undian itu satu daripada yang terburuk kami dan mereka,” kata Pengarah Real Madrid Emilio Butragueno.

“Jika boleh kami mahu berjumpa mereka di peringkat lebih tinggi kejohanan ini kerana ketika itu seluruh dunia pasti akan menonton.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:06 AM