KANAK-KANAK gembira dapat menulis sesuatu mengenai kemerdekaan.
KANAK-KANAK gembira dapat menulis sesuatu mengenai kemerdekaan.
Siti Zarinah Sahib

Sempena Hari Kemerdekaan ke-59 yang lalu, Kindness Malaysia bersama-sama anak pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim meraikan hari bersejarah bagi rakyat Malaysia.

Biarpun anak ini pelarian dari Myanmar, ini tidak menghalang mereka untuk turut bersama meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia. Bagi anak kecil ini mereka sudah lama tinggal di Malaysia oleh itu perasaan cintakan negara sudah lama tersemat dalam diri mereka.

Keamanan yang dikecapi di negara kita membuatkan mereka selesa untuk berada di Malaysia walaupun memegang status pelarian. Majoriti pelarian ini beragama Islam dan ini lebih mudah untuk menjalani kehidupan seharian sebagai Muslim.

Meraikan hari bersejarah Malaysia, Kindness Malaysia mengadakan Projek Batu Merdeka bersama anak pelarian Madrasah Hashimiah. Menurut Pengarah Projek Batu Merdeka Muhamad Haziq, konsep yang diketengahkan sangat mudah. Mereka hanya perlu menulis mesej kebaikan dengan tema kemerdekaan.

“Untuk program ini lebih 40 anak yatim dan miskin terbabit menunjukkan bakat masing-masing dengan melukis di atas batu sungai dan juga kad manila. Batu ini kemudiannya diletakkan di tempat awam seperti hentian bas dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) untuk menggembirakan orang yang membaca mesej pada batu ini,” katanya.

Bagi memeriahkan aktiviti pada malam merdeka, pengacara Nona TV3, Naseha Uyaina Arshad turut bersama kanak-kanak bagi memberikan sokongan kepada mereka. Jelas kegembiraan pada wajah mereka ini apabila dapat sama-sama berkongsi semangat kemerdekaan bersama kanak-kanak lain.

Kindness Malaysia mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan terbabit , juga dermawan yang menaja aktiviti kebaikan ini. Bagi yang berminat untuk turut serta dengan aktiviti Kindness Malaysia, boleh layari www.facebook.com/kindness.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:30 AM