MESKIPUN sibuk dengan rutin harian merawat pesakit namun kakitangan HPKK tetap tidak melupakan hari bersejarah negara, Hari
MESKIPUN sibuk dengan rutin harian merawat pesakit namun kakitangan HPKK tetap tidak melupakan hari bersejarah negara, Hari
Fairul Asmaini Mohd Pilus

MESKIPUN sibuk dengan rutin harian merawat pesakit, kakitangan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) tetap tidak melupakan hari bersejarah negara, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Bagi membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan kakitangan, pesakit kanak-kanak dan pengunjung, hospital itu mengadakan program Semarak Kesihatan Kemerdekaan bermula awal Ogos lalu hingga 16 September ini.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pembinaan monumen bersejarah dan bangunan seperti Tugu Negara, Masjid Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan bangunan HPKK.

Apa yang menariknya, monumen dan bangunan bersejarah itu dibina menggunakan bahan terpakai.

Aktiviti itu dibuat bersama pesakit untuk menyuntik semangat kecintaan terhadap negara di samping turut memperkenalkan dan mendedahkan kepada mereka mengenai sejarah setiap monumen yang dibina.

Turut diadakan aktiviti lain seperti lukisan kemerdekaan, pertandingan mewarna, kraf tangan Merdeka Orang Utan Puppet, mewarna bendera dan rantai kunci bunga, menghasilkan kad ucapan merdeka, kraf payung mini Madani, kraf bakul dan tanjak merdeka serta banyak lagi.

AKTIVITI mewarna untuk pesakit cilik.
AKTIVITI mewarna untuk pesakit cilik.

Lebih istimewa, hospital itu juga membawa pesakit kanak-kanak yang stabil ke gazebo khas ditemani jururawat untuk menonton filem patriotik popular.

Ruang yang terletak di Aras G itu turut dibuka kepada pelawat dan pengunjung luar.

Timbalan Pengarah (Perubatan) HPKK, Profesor Dr Hamidah Alias yang juga pencetus idea program berkenaan berkata, buat julung kalinya acara seumpama itu diadakan bagi menyahut seruan pihak pengurusan UKM untuk memperkasakan sambutan hari yang penuh bersejarah di peringkat hospital berkenaan.

Kata Dr Hamidah, ia bagi memupuk semangat patriotisme di samping mengutamakan rawatan kesihatan kanak-kanak di hospital terbabit.

"Harapan saya semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan, bukan hanya sambutan kemerdekaan tetapi turut mengambil kira pelbagai sambutan perayaan lain yang boleh membabitkan pesakit.

"Pada masa sama, semua pihak tidak mengabaikan kesihatan, itu paling utama," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah HPKK, Profesor Datuk Dr Ismail Sagap berkata, acara sambutan itu diadakan untuk menyemai semangat perpaduan dan permuafakatan antara pesakit, masyarakat sekeliling dengan pihak hospital melalui aktiviti kemerdekaan.

Pada masa sama, ia tidak lupa mewujudkan peringatan kepada semua untuk sentiasa menjaga kesihatan.

KREATIF monumen dan bangunan bersejarah yang dibina daripada barangan terbuang.
KREATIF monumen dan bangunan bersejarah yang dibina daripada barangan terbuang.

Kata beliau, program itu adalah salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama pihak hospital di bawah Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS).

"Teras Malaysia Madani sebagai kunci utama bagi memastikan masyarakat merasai segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kelestarian budaya, kreativiti, keyakinan, kesejahteraan, rasa hormat dan budi bahasa negara.

"Justeru, program Semarak Kesihatan Kemerdekaan diadakan untuk menanam semangat patriotik dan semangat nasionalisme dalam diri kakitangan serta pesakit kanak-kanak.

"Ia secara tidak langsung dapat mendidik kakitangan dan pesakit kanak-kanak dalam menghayati pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air," katanya.

Sementara itu, acara sambutan itu turut menyaksikan bendera Jalur Gemilang daripada cop tapak tangan terpanjang akan dikibarkan di hospital berkenaan.

Ia akan digantung di aras satu sepanjang ruang legar utama dengan sasaran sepanjang 40 meter.

Setiap cop tapak tangan akan turut menyumbang minimum RM5 untuk dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Pesakit HPKK, ia berkonsepkan cinta negara sambil menderma kepada yang memerlukan.

Selain itu, untuk meningkatkan literasi dan memperkasakan kesihatan fizikal dan mental, demo makanan sihat dan kelas masakan turut diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 6:30 AM