Wanita warga emas berusia 75 dan tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Wanita warga emas berusia 75 dan tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad


Pontian: Wanita warga emas berusia 75 dan tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal bulan ini.

Tertuduh Chan Ah Moi, 75; Chan Chui Lai, 59; Tan Chee Seong, 50, dan Lim Huang Kin, 40, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MMDA) seberat 23,572.74 gram dan 532.59 gram serta kanabis seberat 362.02 gram.

Chui Lai turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis MMDA seberat 1,638.81 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sementara itu, di mahkamah sama, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin seberat 232.6 gram.

Chui Lai turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 275 gram.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah atas air di Kukup Laut, Pontian kira-kira 1.30 pagi pada 4 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes sementara menantikan laporan kimia.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, wanita warga emas antara empat yang ditahan disyaki terbabit kegiatan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah dianggarkan bernilai RM4.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 2:21 PM