Norhayati Nordin


Penyanyi Aliff Aziz, 25, yang sebelum ini terpalit pelbagai kontroversi, terus dihimpit cerita sensasi selepas mengikat pertunangan dengan Bella Astillah, 22.

Dia dikatakan dikongkong tunangnya apabila dilihat sering menemaninya ke majlis hiburan dan lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, Aliff menegaskan, Bella tidak pernah mengongkong sebaliknya sangat menyokong. Baginya, Bella gadis matang meskipun usianya masih muda.

“Dia juga jenis yang tidak cemburu dan sangat memahami. Bella mungkin dilihat selalu bersama saya bukanlah untuk mengawal, namun dia banyak membantu.

“Saya selesa apabila Bella sentiasa ada di sisi. Kehadirannya tiada kaitan dengan istilah mengongkong apatah lagi untuk mengawal gerak geri saya,” katanya.

Menurut Aliff lagi, dengan penjelasan itu secara tidak langsung dapat meleraikan segala salah faham sebelum ini. Penyanyi Sayang Sayang itu juga berharap tiada lagi cerita kurang enak antara mereka apabila menjadi suami isteri tidak lama lagi.

Katanya, selepas lapan bulan bertunang, mereka akan disatukan pada 9 September ini di Shah Alam, Selangor dan berharap majlis pernikahan berjalan lancar.

Penyanyi kelahiran Singapura ini lebih selesa bersikap tenang dan enggan terlalu memikirkan tekanan berhadapan jurunikah.

“Sebagai lelaki yang kali pertama akan bernikah, saya hanya mahukan ketenangan dan semoga tidak terlalu gemuruh nanti.

“Apatah lagi acara akad nikah bakal dihadapi itu besar pengertiannya kerana saya akan menggalas tang­gungjawab baru sebagai suami dan ketua keluarga,” katanya.

Kata Aliff, dia dan Bella sepakat memilih 9 September kerana ia tarikh yang cantik dan jatuh pula pada hari Jumaat.

“Ramai juga bertanya mengapa tidak bernikah pada Sabtu atau Ahad. Bagi saya, Jumaat adalah penghulu segala hari.

“Dalam soal perkahwinan, setiap pasangan semestinya ada perancangan tersendiri dan tak kisahlah hari apa pun. Apa yang paling utama, majlis berjalan lancar dan pengantin selamat bernikah. Itu lebih penting,” katanya.

Selepas majlis pernikahan pada siangnya, acara persandingan berlangsung sebelah malam di Setia Alam, Selangor. Pasangan ini juga akan mengadakan dua majlis resepsi kecil-kecilan di Sabah dan Singapura. Mengenai bulan madu, mereka belum ada destinasi pilihan.

Aliff yang juga abang Aishah Aziz, berkenalan dengan Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, tiga tahun lalu dan bertunang pada 13 Disember 2015.

Bagi Aliff, Bella adalah pilihan tepat untuk dijadikan isteri kerana banyak mengubah cara hidupnya ke arah lebih positif. Dia juga terpaut hati dengan Bella kerana terpikat dengan keperibadian gadis itu.

Kata Aliff, dia berusaha menjadi suami yang baik buat Bella dan gembira kerana single barunya, Cuba siap dirakamkan dan berharap mendapat sambutan.

“Saya juga masih menerima tawaran berlakon dan akan muncul dengan drama Meh Sandar Pada Aku di TV3. Antara menyanyi dan berlakon, dua bidang seni ini memang sangat saya minati. Jadi, mana tawaran yang datang dulu, saya terima.

“Asalkan kena dengan masa dan watak dilakonkan pun sesuai, akan saya terima. Bagi saya, selagi ada peluang saya perlu sedia mencuba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:06 AM